Lebih 50% kluster Covid-19 berkaitan tempat kerja sejak wabak bermula


Ravin Palanisamy

Sejak bermulanya wabak Covid-19, sektor tempat kerja melaporkan 1,011 kluster dengan jumlah 124,614 orang dijangkiti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2021

LEBIH 50 peratus kluster Covid-19 di negara ini sejak wabak bermula awal tahun lepas dikaitkan dengan tempat kerja, menurut data Kementerian Kesihatan.

Data itu juga menunjukkan bahawa sektor tempat kerja melaporkan paling banyak kes positif berbanding sektor lain.

“Kluster yang melibatkan sektor tempat kerja mencatat jumlah kluster tertinggi di negara ini dan juga jumlah kes Covid-19 berbanding sektor lain.

“Sejak bermulanya wabak ini, sektor tempat kerja melaporkan 1,011 kluster dengan jumlah 124,614 orang dijangkiti,” katanya.

Angka yang dikumpulkan untuk data adalah dari 25 Januari 2020 sehingga 18 Mei 2021.

Data membuktikan bahawa 26% kes koronavirus di negara ini dikesan di tempat kerja. 

Sehingga 18 Mei, sejumlah 1,920 kluster dikesan di negara ini yang bermaksud 53% dari keseluruhan kluster berasal dari tempat kerja.

Hanya dalam dua hari terakhir (19 dan 20 Mei), negara ini melaporkan 46 kluster yang mana 17 daripadanya dikaitkan dengan tempat kerja.

Pada 7 November 2020, kluster tempat kerja Teratai melibatkan pengeluar sarung tangan terbesar di dunia dikesan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, virus itu merebak di luar lingkaran pekerja kilang dan mewujudkan generasi kedua jangkitan.

Kluster Teratai tamat pada 17 April tahun ini. Ini adalah kluster terbesar yang dikesan sehingga kini dengan 7,205 orang positif.

Baru-baru ini Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara dari 12 Mei sehingga 7 Jun dalam usaha mengekang kadang jangkitan Covid-19 yang tinggi setiap hari.

Tetapi walaupun dengan PKP baharu, tidak ada tanda-tanda kemajuan apabila negara terus melaporkan kes dan kematian harian Covid-19 tinggi.

Semalam Malaysia melaporkan 6,806 kes dan 59 kematian dalam tempoh sehari, yang tertinggi dalam sehari sejak wabak itu bermula.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memutuskan esok cadangan untuk menguatkuasakan sepenuhnya perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang berjalan sekarang. – 21 Mei, 2021


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen