MKN putuskan PKP penuh atau tidak esok, kata Takiyuddin


MKN putuskan esok cadangan menguatkuasakan sepenuhnya PKP yang sedang berjalan sekarang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2021.

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) akan memutuskan esok cadangan untuk menguatkuasakan sepenuhnya perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang berjalan sekarang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan.

Katanya, mesyuarat akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 3 petang esok.

“Itu (total lockdown) antara langkah yang perlu difikirkan oleh pihak MKN, pilihan yang kita ada selepas kita laksanakan PKP, PKPB, PKPP dan sebagainya. Itulah langkah-langkah yang perlu diambil, sama ada secara keseluruhan atau bersasar.

“Esok ada sidang MKN, ia mungkin akan dibincangkan di sana yang melibatkan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri,” katanya, seperti dipetik oleh media di Kota Bharu.

Beliau ditemui media ketika hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim.

Malaysia hari ini sekali lagi mengesan lebih 6,000 kes baharu jangkitan Covid-19, untuk hari kedua berturut-turut, dengan lebih satu pertiga daripadanya direkodkan di Selangor.

Selangor mencatatkan kes tinggi lebih 2,200 semalam dan hari ini susulan langkah kerajaan negeri menjalankan saringan Covid-19 secara percuma ke atas penduduknya.

Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara berkuat kuasa pada 12 Mei sehingga 7 Jun ini.

Namun tidak seperti kali pertama antara Mac dan Mei tahun lalu, pelaksanaan PKP kali ini membenarkan sektor ekonomi beroperasi.

Takiyuddin juga dipetik berkata kerajaan sangat memandang serius penularan Covid-19 dalam masyarakat, ketika jumlah keseluruhan kes di negara ini sejak wabak pertama kali dikesan pada Januari 2020 sudah mencecah hampir setengah juta dan kematian lebih 2,000.

Katanya, kerajaan kini memberi tumpuan penuh kepada usaha menangani Covid-19.

“Perkara yang kurang penting kita tangguhkan dulu, fokus kita buat masa ini adalah kepada pandemik Covid-19,” katanya, seperti dipetik BH.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata penularan Covid-19 yang bertambah sejak kebelakangan ini memberikan tekanan kepada sistem rawatan kesihatan negara.

Lebih 70% kapasiti unit rawatan rapi (ICU) kini sudah digunakan untuk pesakit Covid-19, katanya kelmarin.

Beberapa pihak termasuk kesatuan sekerja perkhidmatan awam turut menggesa kerajaan menguatkuasakan PKP penuh untuk suatu tempoh sekurang-kurangnya 21 hari bagi memutuskan rantaian jangkitan pandemik. – 20 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen