Menjunjung titah Sultan Johor


PADA 24 Februari awal tahun ini, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan bahawa Parlimen Malaysia boleh bersidang, sekali pun kita berada dalam perintah darurat.

Persidangan tersebut hendaklah berkuat kuasa pada satu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Baginda atas nasihat dan saranan perdana menteri.

Namun, hampir tiga bulan selepas titah tersebut, perdana menteri nampaknya masih tidak memberikan sebarang saranan dan nasihat berkaitan.

Malah, beliau kelihatan tidak berminat untuk membuka semula sidang Parlimen dalam masa terdekat.

Hari ini Sultan Johor pula bertitah menyeru Adun dan Ahli-Ahli Parlimen Johor untuk duduk bermesyuarat dan bersama-sama membincangkan isu yang sedang mendepani rakyat, negeri Johor dan negara kita.

Titah tersebut jelas menunjukkan bahawa, wujud keperluan dan kepentingan yang mendesak untuk kerajaan kembali bersidang.

Kerajaan yang berjalan tanpa instrumen semak dan imbang dalam forum seperti DUN dan Parlimen tidak akan mempunyai kebertanggungjawaban yang terbaik.

Malah, saranan serta suara yang rakyat kebanyakan tidak akan boleh diangkat dengan sewajarnya.

Saya bersetuju dan menyokong titah Tuanku Sultan Johor. 

Kita harap perkara ini akan mendapat perhatian pihak Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Parlimen Johor dengan segera.

Kembalikan amalan demokrasi yang sihat, terbuka dan menyantuni Perlembagaan.

Ini adalah masa untuk kita mengesampingkan sebarang kepentingan politik dan perbezaan. Sebaliknya, marilah kita mengambil segenap ruang dan kesempatan untuk mencari jalan keluar terbaik dari kemelut pandemik dan kelembapan ekonomi yang semakin meruncing ini.

Semoga kita semua selamat, dan krisis ini akan berakhir segera. – 20 Mei, 2021.

* Mohamed Khaled Nordin, Naib Presiden Umno

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen