Sultan Johor titah ahli Parlimen, Adun bermesyuarat bincang isu Covid-19


Dalam tempoh dua minggu lalu, Johor mengesan 5,148 kes baharu Covid-19 di negeri itu, dengan 699 daripadanya direkodkan semalam. – Gambar EPA, 20 Mei, 2021.

SULTAN Johor mahu Menteri Besar Johor mengadakan satu mesyuarat segera bersama semua ahli parlimen dan Adun Johor untuk membincangkan perkembangan penularan Covid-19 di negeri itu.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah demikian ketika sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Johor tidak dapat diadakan susulan perintah darurat yang sedang berkuat kuasa sehingga 1 Ogos ini.

Titah baginda kerajaan negeri bersama wakil rakyat harus memainkan peranan bukan saja untuk membantu membendung wabak tetapi membantu mereka yang terkesan.

“Melalui perbincangan ini, semua Ahli Parlimen dan Adun boleh memberikan buah fikiran dan pandangan masing-masing dalam membendung penularan wabak Covid-19 dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Bangsa Johor,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah baginda maklum Ordinan Darurat yang berkuatkuasa menghalang sidang Parlimen dan DUN untuk dijalankan sekarang.

“Namun, saya rasa khidmat Ahli Parlimen dan Adun di Negeri Johor perlu digembleng untuk terus membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak ini,” titah baginda. 

Dalam tempoh dua minggu lalu, Johor mengesan 5,148 kes baharu Covid-19 di negeri itu, dengan 699 daripadanya direkodkan semalam. Daripada jumlah itu, 4,111 kes masih aktif.

Angka semalam itu adalah yang kedua tertinggi di Malaysia selepas Selangor yang kekal negeri tertinggi untuk lebih dua minggu. 

Kes baharu di Selangor sebanyak 2,251 setakat tengah hari semalam adalah lebih dua pertiga daripada kes baharu harian yang dikesan di seluruh negara.

Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di seluruh Malaysia berkuat kuasa sehingga 1 Ogos, atau lebih awal bergantung pada nasihat sebuah jawatankuasa bebas yang diperkenan oleh baginda.

Ordinan itu mengekalkan kuasa pada perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri untuk terus mentadbir dan menjalankan kuasa eksekutif yang ada pada mereka sepanjang tempoh darurat berjalan.

Ia juga mengekalkan jemaah menteri, majlis mesyuarat kerajaan negeri dan kabinet negeri.

Ordinan itu juga menggantung beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri, yang menyebabkan Parlimen dan DUN tidak bersidang selain tiada pilihan raya selagi darurat berjalan.

Beberapa ahli parlimen termasuk ketua pembangkang Anwar Ibrahim kemudian memfailkan permohonan di mahkamah untuk mempertikaikan kesahihan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri semasa menasihati Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Pada 22 April lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar atas alasan tiada bidang kuasa untuk menyemak nasihat perdana menteri kepada Agong. – 20 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen