Kongres Nasional PKR 4-6 Jun dalam talian sepenuhnya, kata Nik Nazmi


Ketua Setiausaha Pengelola merangkap Pengarah Kongres PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ketetapan baharu ini berbeza dengan perancangan asal parti yang mahu menganjurkan kongres secara hibrid seperti yang diumumkan pada 3 Mei lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2021.

KONGRES Nasional PKR kali ke-15 akan diteruskan seperti dijadualkan pada 4 hingga 6 Jun ini dengan perubahan format secara dalam talian sepenuhnya, kata Ketua Setiausaha Pengelola merangkap Pengarah Kongres PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata ketetapan baharu ini berbeza dengan perancangan asal parti tersebut yang mahu menganjurkan kongres berkenaan secara bersepadu (hibrid) seperti yang diumumkan pada 3 Mei lepas.

Beliau berkata kongres tersebut akan dimulakan dengan Kongres Wanita PKR pada 4 Jun, disusuli Kongres Angkatan Muda PKR (5 Jun) dan diakhiri dengan Kongres Nasional PKR pada 6 Jun.

“Kesemua 2,400 orang perwakilan dan pimpinan PKR akan menyertai kongres ini menerusi aplikasi Zoom dari rumah masing-masing dan tidak ada perkumpulan fizikal. Media dan orang awam boleh mengikuti persidangan ini menerusi siaran secara langsung dari laman media sosial PKR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata langkah menggunakan format tersebut diambil selepas pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan selepas peningkatan jangkitan Covid-19 yang semakin tidak terkawal, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan persidangan diadakan.

Nik Nazmi berkata PKR telah menulis kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung keputusan itu selain memaklumkannya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“PKR dengan ini menyeru kepada semua pihak, tidak kira status sosial yang dipegang saudara saudari sama ada ‘kayangan’ atau marhaen, untuk terus mematuhi SOP dan bertanggungjawab atas setiap tindakan kita dalam usaha untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19,” katanya.

Pada 3 Mei, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang media mengumumkan kongres tersebut akan diadakan selama dua hari bermula 5 Jun di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 Shah Alam, Selangor.

Beliau dipetik sebagai berkata kongres berkenaan yang bertemakan ‘Pentas Rakyat’ akan diadakan secara hibrid bagi mematuhi SOP yang ditetapkan MKN dan RoS. – Bernama, 19 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen