PARTI Sosialis Malaysia (PSM) masih membuka pintu rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) bagi mengelakkan pertembungan kerusi pada pilihan raya umum akan datang, kata ahli jawatankuasa pusatnya, S. Arutchelvan.
Arutchelvan memberitahu The Malaysian Insight, parti itu terkilan kerana PH tidak pernah menjemput mereka untuk rundingan kerusi.
“Kami masih mahu berunding, tetapi diharap bukan pada saat akhir ketika pilihan raya semakin hampir. Berdasarkan pengalaman sebelum ini, Pakatan biasanya akan umumkan saat akhir untuk benarkan PSM bertanding di Sungai Siput.
“Untuk parti yang sudah lama seperti PSM, agak memalukan untuk hanya mendapat satu kerusi,” katanya.
Tambahnya, keputusan adalah di tangan PH kerana mereka pakatan yang lebih besar sedangkan PSM hanya sebuah parti kecil.
Anthony Loke dari DAP hari ini memberitahu The Malaysian Insight, PH bersetuju PSM kekal di Sungai Siput, Perak sekiranya penyandang kerusi itu yang juga ahli jawatankuasa pusat PSM Dr Michael Jeyakumar bertanding atas tiket PKR.
Arutchelvan semalam menerusi posting Facebooknya berkata, PSM akan menentang PH dan BN di lima kerusi Parlimen: Batu Gajah (Perak), Sungai Siput (Perak), Subang (Selangor), Hulu Langat (Selangor) dan Cameron Highlands (Pahang).
Posting berkenaan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Penyokongnya berkata PSM adalah pilihan terbaik berbanding PH dan BN manakala pengkritiknya menyelar PSM kerana memecah undi pembangkang, yang mana ia akan memberi kelebihan kepada BN.
Arutchelvan juga sedia maklum bahawa ia adalah sukar bagi PSM namun ia adalah bergantung kepada kualiti calonnya dan khidmat mereka selama ini di kawasan berkenaan.
“Calon kami memiliki pengalaman politik yang luas, bersih dan rajin turun padang.
“Sekiranya undi pemilih berdasarkan kualiti calon, kami ada peluang yang baik; sekiranya mereka undi berdasarkan parti politik, ia akan menjadi pertandingan yang sukar untuk kami,” katanya.
PSM kini hanya mempunyai satu kerusi Parlimen - Sungai Siput.
Dr Michael Jeyakumar merampas kerusi itu daripada presiden MIC Samy Vellu pada 2008 dengan 1,821 undi dan mengekalkan majoriti besar 2,793 undi pada 2013 atas tiket PKR.
Arutchelvan berkata Dr Michael Jeyakumar secara konsisten mengisytiharkan harta sejak 1999, jauh sebelum Pakatan Harapan mengamalkannya.
Setiausaha PSM Cameron Highlands B Suresh berkemungkinan akan menentang calon daripada DAP dan parti komponen BN, PPP atau MIC manakala Arutchelvan sendiri berkemungkinan akan bertanding dengan Amanah, PAS dan Umno di Hulu Langat.
Parti itu juga meletakkan calon Orang Asli di Jelai, Pahang. Ia merancang untuk bertanding di 15 kerusi negeri. Calon parti itu bagaimanapun masih belum diputuskan. – 9 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan