Tidak boleh di rumah, di pusat beli-belah pula?


APAKAH Syawal terlalu sebati sambutannya dengan jiwa dan budaya kita sehingga ia tidak boleh tidak mesti dirai secara berkumpulan?

Kalau tidak boleh di rumah, raikan di pusat beli-belah

Memang terasa asing kalau Syawal disambut tanpa kunjung mengunjungi dengan saling bersalaman untuk saling bermaaf-maafan.

Ganjil. Pelik.

Tetapi bukan begitu bermulanya Islam?

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Hurairah (r.a) dia berkata, “Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Islam muncul dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing.” (HR Muslim)

Sahih hadis ini. Imam al-Sindi (w. 1720) memahamkan hadis ini seperti berikut:

“‘Asing’ (ghareeb) merujuk kepada sedikitnya jumlah orang Islam. Asal makna ‘ghareeb’ adalah jauh dari kampung halaman. ‘Dan akan kembali dalam dalam keadaan asing’ merujuk kepada sedikitnya umat Islam yang berpegang kepada ajaran Islam walaupun jumlah umatnya yang besar. ‘Maka beruntunglah (tubaa) orang-orang yang asing’ merujuk kepada orang-orang Islam yang berpegang kepada ajarannya. 

“Ini membayangkan bahawa berpegang kepada ajaran Islam boleh menuntut seseorang itu meninggalkan kampung halamannya dan bersabar ketika berdepan dengan ujian dan kesulitan sebagai seorang yang asing seperti mana keadaannya pada awal Islam.”

Dalam konteks hari ini, beruntunglah orang-orang Islam yang menyambut Syawal dalam keadaan asing, ganjil dan pelik. Syawal disambut dengan duduk di rumah sahaja. Dengan penuh kesabaran.

Orang-orang Islam yang duduk di rumah sahaja, mereka menjaga keselamatan diri dan masyarakat seperti dituntut oleh Islam.

Nyawa adalah satu daripada lima maqasid Shariah. Ia wajib dipelihara. Pastinya ia menuntut kesabaran seperti kesabaran memegang bara api. Tetapi balasannya besar.

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Rasulullah (s.a.w) telah bersabda:

“Di akhir kemudian ada hari-hari (yang kamu wajib) bersabar. Bersabar pada saat itu seperti seseorang yang memegang bara api, dan orang yang beramal pada saat itu pahalanya sebanding dengan lima puluh kali amalan orang yang beramal seperti amalnya.” 

“Abu Tsa’labah lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, seperti pahala lima puluh orang dari mereka ?” Beliau menjawab, “(Bahkan) seperti pahala lima puluh orang dari kalian.” (HR Abu Daud)

Orang-orang Islam yang duduk di rumah sesungguhnya adalah orang-orang yang asing dan bersabar dalam menyambut Syawal kerana kebiasaannya Syawal tidak disambut sebegitu.

Tapi beruntunglah orang-orang yang asing dan bersabar. Pahalanya seperti pahala amalan lima puluh orang sahabat. – 18 Mei, 2021.

* Hafiz Hassan, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen