Senarai HIDE dedah lokasi pusat beli-belah keluarga sambut raya, kata menteri kesihatan


Ravin Palanisamy

Ahli keluarga dilihat berjumpa di pusat membeli-belah selepas kerajaan melarang berkumpul di rumah semasa perayaan Aidilfitri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Mei, 2021.

SENARAI sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) terbaru akan merangkumi beberapa pusat membeli-belah di mana orang ramai berkumpul semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, kata Dr Adham Baba.

Menteri kesihatan berkata ahli keluarga berjumpa di pusat membeli-belah selepas kerajaan melarang berkumpul di rumah.

“Apabila kerajaan melarang berkumpul di rumah pada Hari Raya, orang ramai berjumpa di pusat membeli-belah. Ini boleh mencetuskan krisis,” katanya pada sidang media mingguan bersama Khairy Jamaluddin. 

Beliau berkata pusat membeli-belah ini akan dimasukkan ke dalam senarai HIDE untuk memberi kesedaran kepada orang ramai dengan harapan dapat membantu mengekang penularan virus.

Khairy, yang merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, senarai HIDE yang dikemas kini akan dapat dilihat hari ini atau selewat-lewatnya esok.

Minggu lalu, Khairy berkata berdasarkan HIDE, sejumlah 1,660 lokasi dikenal pasti “berisiko” dan berpotensi untuk menjadi kluster Covid-19. – 17 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen