Kerugian akibat PKP 3.0 lebih kecil, kata ahli ekonomi


Bernard Saw

Pusat membeli-belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur masih dikunjungi orang ramai walaupun seluruh negara berada di bawah PKP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 Mei, 2021.

KERUGIAN ekonomi akibat perintah kawalan pergerakan ketiga (PKP 3.0) dijangka lebih kecil berbanding PKP pertama tahun lalu, kata pakar ekonomi.

Bagaimanapun, kesan yang berpunca daripada gangguan pasaran jangka pendek berulang akan menjejaskan beberapa sektor tertentu berbanding yang lain, tambah mereka.

Ini akan mempengaruhi keyakinan dalam pasaran dan memperlahankan pemulihan ekonomi Malaysia secara keseluruhan, kata profesor ekonomi Universiti Tunku Abdul Rahman, Wong Chin Yoong.

Di bawah PKP 3.0, beberapa sektor akan terjejas lebih teruk berbanding lain, seperti pelancongan dan riadah merangkumi spa, kelab malam dan pusat hiburan.

Sementara pelancongan akan terjejas kerana perjalanan antara negeri dan antara daerah, kecuali untuk keadaan darurat yang dilarang.

“Industri lain bergerak seperti biasa (dengan prosedur operasi standard), sehingga impaknya tidak begitu signifikan,” kata Wong kepada The Malaysian Insight.

Akan ada gangguan jangka pendek di tempat yang telah dikenal pasti sebagai kawasan panas oleh Sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE), yang wajib ditutup untuk pembersihan, namun Wong berkata ini hanya mempengaruhi pusat membeli-belah.

“Pusat beli-belah mungkin ditutup selama beberapa hari tetapi orang masih dapat beli apa yang mereka perlukan di tempat lain.

“Walaupun kesannya akan dirasakan oleh pusat-pusat membeli belah yang berkaitan, tidak ada kesan signifikan terhadap keseluruhan ekonomi, sebab orang ramai dan peruncit lain di tempat lain masih akan dapat keuntungan.”

Secara keseluruhan, Wong berkata kesan PKP 3.0 tidak akan seburuk PKP pertama tahun lalu, di mana semua perkhidmatan kecuali yang penting terhenti.

“Kesan lebih besar daripada PKP ini emosional. Keputusan perniagaan juga tak keruan, ada yang akan terbantut atau terpaksa diperlahankan.”

Tinjauan menjangkakan PKP 3.0, bermula 12 Mei hingga 7 Jun, boleh mengakibatkan kerugian ekonomi sebanyak RM300 juta sehari, berbanding RM2.4 bilion yang besar semasa PKP pertama pada Mac tahun lalu.

Pertumbuhan KDNK mungkin capai sasaran

Walaupun pemulihan ekonomi akan perlahan, Wong berkata negara tidak perlu rendahkan unjuran KDNK (keluaran dalam negara kasar) antara 6% kepada 7.5%, menjadi 4% atau 5%.

“Masih terlalu awal untuk tentukan sama ada kadar pertumbuhan 6% dapat dikekalkan kerana kesan PKP 2.0 dan 3.0 terhadap prestasi ekonomi.”

Wong berkata masih ada pertumbuhan industri berorientasikan eksport seperti pembuatan dan produk mentah, yang akan menampung kekurangan.

KDNK Malaysia untuk suku pertama 2021 menunjukkan pertumbuhan negatif, tetapi Wong mengatakan penguncupan 0.5% lebih baik daripada jangkaan pasaran.

Ekonomi menguncup 17% pada suku kedua tahun lalu, prestasi terburuk negara sepanjang pandemik, dan Wong tidak percaya ia akan menjadi lebih buruk.

Sektor perkhidmatan, PKS terjejas teruk

Ahli Parlimen Subang Jaya Wong Chen berkata PKP 3.0 akan memberi kesan yang sedikit kepada eksport dan pengeluaran keseluruhan kerana kilang masih beroperasi sepenuhnya.

“Sebaliknya, peruncitan, penggunaan dan perkhidmatan domestik yang perlu lebih bertahan,” katanya.

“Sektor perkhidmatan adalah sekitar separuh ekonomi dan saya jangkakan penurunan 20% dalam sektor ini,” tambah ahli Parlimen PKR yang berada di jawatankuasa pemilihan Parlimen mengenai kewangan dan ekonomi. – 15 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen