Umno tanggung 'dosa' Perikatan jika kekal dalam kerajaan, kata Ku Li


Nabihah Hamid Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata Umno hanya setuju sertai kerajaan PN pada 2020 bagi menamatkan pergolakan politik yang bermula daripada Langkah Sheraton. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 Mei, 2021.

UMNO akan menanggung “dosa” yang dilakukan Perikatan Nasional (PN) jika tidak meninggalkan kerajaan secepat mungkin, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

“Dosa yang paling besar dilakukan PN adalah pengisytiharan darurat walaupun tidak dipersetujui Umno,” kata ahli Parlimen Gua Musang berusia 84 tahun itu kepada The Malaysian Insight.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa penasihat parti berkata darurat menyebabkan pelabur asing mencari pelaburan di negara jiran.

“Bukan saja pelabur asing, tetapi pelabur tempatan juga beralih ke Indonesia dan negara lain. Akibatnya, ribuan rakyat kehilangan pekerjaan,” kata Tengku Razaleigh yang merupakan bekas menteri kewangan.

Katanya, Umno perlu bertanggungjawab jika tidak meninggalkan kerajaan PN.

“Jadi ini semua dosa yang kita tanggung. Kenapa Umno mesti pikul tanggungjawab ini. Umno tak patut berkongsi kesalahan ini, kerana kita tak salah,” kata Tengku Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li.

Beliau berkata Umno hanya bersetuju menyertai kerajaan PN pada 2020 bagi menamatkan pergolakan politik yang bermula daripada Langkah Sheraton.

“Tetapi sekarang situasi sudah stabil dan tiada keperluan lagi untuk Umno kekal dalam kerajaan PN. Ini bukan yang dimahukan akar umbi parti.”

Berhubung kenyataan Dr Mahathir tentang kegagalannya meyakinkan ahli Parlimen Umno untuk menarik sokongan daripada PN pada tahun lepas, Ku Li menyalahkan permainan politik wang.

“Ada pemimpin yang cenderung kepada kroni kapitalis. Pemimpin ini hanya akan mendengar kepada mereka yang boleh memberikan wang atau kedudukan.

“Tapi bukan ini yang parti mahukan dan saya tidak boleh memberi mereka apa-apa kerana saya tidak bersetuju dengan politik wang.

“Tidak kira bila, Umno perlu meninggalkan PN,” katanya.

“Kita tidak boleh berada dalam PN kerana kita sudah ada Barisan Nasional yang dibarisi MCA dan MIC. Apa yang kita mahukan pada 2020 adalah untuk menstabilkan kerajaan dan menamatkan pemerintahan Pakatan Harapan.

“Kini situasi sudah stabil dan tiba masanya Umno meninggakan PN kerana ini juga yang dimahukan akar umbi,” kata Tengku Razaleigh.

Pada Persidangan Agung Umno (PAU) bulan lepas, parti itu mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada Ogos.

Bagaimanapun mereka yang bekerjasama dengan Bersatu dilihat melanggar keputusan itu.

Mereka berkata walaupun majlis tertinggi Umno mengambil keputusan untuk putus hubungan dengan Bersatu tetapi ia bergantung kepada ahli Parlimen Umno secara individu. – 10 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kerajaan Perikatan Nipu hanya berminat mencuri kekayaan Malaysia sahaja bukan mentadbir dan mengurus negara. Mereka gagal menangani Covid-19. UMNO pasti akan terpalit sama kerana menteri2 Umno berperanan besar dalam usaha menentang Covi - 19 ini. MoH diketua oleh Umno, Begitu juga keselamatan yang bertanggungjawab melaksanakan PKP dan pemberiaan vaksin. Semuanya diketuai menteri2 dari parti UMNO.. Kegaalan PN dilihat sebagai kegagalan Umno

    Dimuat naik 2 tahun yang lalu oleh Masfaliza masmuda · Ulasan