Ku Li gagal pujuk wakil rakyat Umno tolak Perikatan, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad berkata kerjasama dengan Ku Li dibuat bagi menjatuhkan kerajaan PN)dan melantik perdana menteri baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2021.

KERJASAMA dengan Tengku Razaleigh Hamzah tidak berjaya kerana veteran Umno itu gagal mengajak pemimpin partinya menarik sokongan ke atas kerajaan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri ketujuh itu memberitahu portal malaysiapost.com.my usaha itu dijalankan bagi menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan melantik perdana menteri baharu.

Namun tiada seorangpun berjaya ditarik walau ahli Parlimen Gua Musang itu berpengaruh, kata Dr Mahathir yang menjelaskan ia disebabkan pemimpin berkenaan mengutamakan wang.

“Tengku Razaliegh ini ada pengaruh dalam Umno, kalau dia boleh tarik dua tiga orang keluar (sokongan) seperti dia… jatuh kerajaan tetapi dia tidak berjaya tarik.

“Tiada siapa pun nak tinggal jawatan lumayan ini,” katanya seperti dipetik portal bahasa Melayu itu.

Tambahnya, beliau menyertai penasihat Umno itu untuk memujuk ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan ke atas kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tapi tidak berjaya.

“Kawan dia atau orang yang dekat dengan dia tiada seorang pun, jadi dia tinggal seorang sahaja.

“Jadi saya bersama dengan dia kerana dia kata boleh tarik sebahagian orang Umno tetapi tiada orang Umno nak keluar.

“Kalau keluar habislah duit kerana perjuangan mereka adalah duit,” katanya lagi kepada portal itu.

Dr Mahathir mengulas kerjasama dengan Tengku Razaleigh sewaktu beliau tampil dalam sidang media bersama bekas menteri kewangan itu pada Disember lalu.

Pada waktu itu, Tengku Razaleigh sudahpun mengumumkan tidak akan menyokong Belanjawan 2021 dan menggesa semua ahli Parlimen menyokong undi tidak percaya ke atas Muhyiddin.

Belanjawan itu bagaimanapun lulus bacaan kali ketiga dengan majoriti tipis dan turut membolehkan Muhyiddin kekal sebagai perdana menteri.

Muhyiddin seterusnya berjaya mendapat perkenan untuk mengisytihar darurat selepas dua lagi ahli Parlimen Umno Ahmad Jazlan Yaakub dan Nazri Aziz menarik sokongan ke atas kerajaan PN.

Perhimpunan Agung Umno pada akhir Mac kemudian menetapkan menolak kerjasama dengan parti pimpinan Muhyiddin, Bersatu, bagi pilihan raya umum akan datang.

Umno juga menolak pembentukan gabungan politik bersama PN dan akan bertanding dengan lambang Barisan Nasional. – 7 Mei, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen