PRU14 tentang rasuah, PRU15 tentang parti Melayu dominan, kata penganalisis


Bernard Saw

Ramai pengundi Melayu masih percaya idea pakatan Melayu-Islam yang patut memerintah negara ini menyebabkan mereka sokong penubuhan Muafakat Nasional antara Umno dan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2021.

TIGA tahun lalu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei, 2018 rakyat Malaysia memilih agenda antirasuah menggulingkan pemerintahan enam dekad Barisan Nasional (BN).

Kini, setelah berlaku lompat-melompat parti sehingga tertubuhnya pemerintahan baharu tak dilantik secara rasmi oleh rakyat, pilihan raya umum akan datang dijangka menjadi medan pertarungan antara parti Melayu iaitu Umno, Bersatu dan PAS, kata penganalisis.

Undi orang Melayu, sebagai blok pengundian terbesar di negara ini akan menentukan keputusan PRU15, kata penganalisis.

Blok ini sekarang berpecah kerana hubungan buruk antara sekutu Perikatan Nasional (PN) Umno dan Bersatu, dan ketidakpastian di pihak manakah PAS akan merapat.

Tinjauan oleh penganalisis politik Mazlan Ali sebelum Ramadan bermula mendapati lebih daripada separuh, 55% pengundi Melayu yang ditinjau masih memilih menyokong parti Melayu-Islam dan kemungkinan akan memilih gabungan merangkumi PAS dan Bersatu.

Tinjauan dilakukan terhadap 3,285 responden juga mendapati Umno hanya mendapat sokongan 30% daripada mereka yang ditinjau. Pakatan Harapan (PH) hanya mendapat 15% sokongan.

Daripada semua ditinjau, 73% orang Melayu, Cina 15% dan India 12%.

Mentafsirkan hasil tinjauan kepada The Malaysian Insight, Mazlan berkata penurunan sokongan terhadap Umno berpunca dari perebutan kuasa dalam parti dan kerana tidak mahu bekerjasama dengan PN pada PRU15.

Ini mempengaruhi persepsi parti dalam kalangan pengundi Melayu.

“Sebelum ini, hubungan PAS dan Umno baik,” kata Mazlan, merujuk kepada Muafakat Nasional dibentuk setelah Umno-BN kehilangan kuasa persekutuan pada 2018, pertama kali dalam enam dekad.

“Tetapi sekarang, Umno tak mahu bekerjasama dengan PAS dan Bersatu dalam PRU15. Orang Melayu mungkin kecewa, dan telah memberikan sokongan kepada gabungan Bersatu dan PAS.

“Kelemahan terbesar Umno sekarang ialah orang ramai berpendapat mereka terlalu nak rebut kuasa. Negara ini sedang berhadapan krisis (kesihatan dan ekonomi) sekarang, tetapi mereka (Umno) nampaknya tidak peduli, sebaliknya lebih fokus untuk mendapatkan kuasa.”

Pemerintahan enam dekad BN berakhir selepas PRU14 pada 2018 apabila rakyat memilih agenda anti rasuah. – Gambar fail EPA, 9 Mei, 2021.

Pensyarah sains politik Universiti Teknologi Malaysia itu berkata faktor lain dalam daya tarikan Umno yang melemah adalah kemunculan lebih ramai pengundi muda Melayu yang tidak mengambil bahagian dalam naratif parti.

Sokongan 55% buat PAS-Bersatu juga dikaitkan dengan pandangan baik di kalangan orang Melayu mengenai prestasi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berbanding pemimpin politik lain, kerana pelbagai pakej rangsangan ekonomi membantu rakyat Malaysia sepanjang pandemik ini, tambah Mazlan.

Begitu juga, tinjauan Merdeka Center pada Januari mendapati sokongan terhadap Muhyiddin pada 67%.

Abang besar Umno dan perpaduan Melayu

Ramai pengundi Melayu masih percayakan idea pakatan Melayu-Islam yang patut memerintah negara ini, kata Mazlan, dan oleh itu tingginya sokongan mereka terhadap Muafakat Nasional antara Umno dan PAS dibentuk selepas PRU14.

Sekarang selepas Umno dan PAS mengambil jalan berbeza mengenai sokongan terhadap Bersatu-PN, pengundi Melayu memilih pakatan PAS-Bersatu kerana mahukan kerajaan Melayu-Islam.

“Sokongan orang Melayu tidak sebulat suara untuk PN atau Umno,” tambah Mazlan.

Penganalisis politik, Oh Ei Sun, berpendapat sokongan terhadap Umno tidak menurun secara drastik. Parti itu kalah pada PRU14 kerana faktor pertandingan tiga penjuru oleh PAS di kerusi tertentu.

“Rancangan pada PRU14 adalah untuk memecah undi PH, tetapi pada akhirnya undi Umno yang terpecah.”

Tidak jelas sama ada Umno akan bekerjasama dengan PAS pada PRU15, tambah penyelidik kanan di School of International Relations di Universiti Teknologi Nanyang di Singapura,

“Walaupun Umno tidak bekerjasama dengan sesiapa pun, Pakatan agak lemah, jadi sukar bagi mereka mendapatkan sokongan seperti sebelum ini.”

Memandangkan saiz dan kekuatan Umno, penyertaannya diperlukan dalam mana-mana pakatan pemerintah agar kerajaan jadi stabil, kata Oh.

Di antara parti-parti Melayu pada PRU14, Umno memenangi kerusi terbanyak iaitu 54 kerusi.

“Umno perlu jadi ‘abang besar’ agar gabungan stabil. Jika tidak, seperti sekarang, walaupun anda adalah anggota gabungan yang berkuasa, jika anda bukan abang besar, kerajaan tidak akan stabil.”

Berbanding Umno, parti pecahannya Bersatu tidak lebih kuat dalam tiga tahun kebelakangan kerana tidak mendapat sokongan akar umbi yang kuat. Ini adalah kekurangan besar bagi parti itu, kata Oh.

“Bersatu tak tolak PAS malah memilih untuk bekerja sama dengannya,” katanya mengenai mengapa Bersatu perlukan PAS. – 9 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen