Populariti Muhyiddin kekal, kata Merdeka Center


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika bersolat terawih di Masjid Jamek al-Amaniah di Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 April, 2021.

POPULARITI Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kekal dengan tahap sokongan 67%, mengikut tinjauan terbaru badan kajian Merdeka Center.

Peratusan itu meningkat dari kajian terdahulu yang dijalankan pada awal tahun ini yang merekodkan kadar sokongan 63%, menurut badan itu dalam kenyataan mengenai dapatan terbaharu.

Kajian itu mendapati, Muhyiddin meraih sokongan paling besar dari pengundi Melayu sebanyak 83%, 66% dari pengundi India dan paling lemah 30% dari pengundi Cina.

Ia hasil tinjauan dijalankan antara 31 Mac hingga 12 April ke atas 2,111 pengundi mengikut pecahan kaum pengundi di semenanjung Malaysia.

Menurut Merdeka Center, lebih ramai berpendapat negara “bergerak ke arah yang betul”, sebanyak 41% peratus berbanding hanya 31% dalam tinjauan terdahulu.

Golongan yang berpandangan sedemikian menyebut pandangan positif ke atas pentadbiran negara dan jaminan kebajikan rakyat, menurut badan itu.

Pengundi yang berpendapat negara berada di landasan salah pula, sebanyak 46%, membangkitkan kebimbangan mengenai ketidakstabilan politik dan isu ekonomi.

Isu ekonomi juga menjadi kebimbangan paling utama pengundi, sebanyak 57% berbanding  kebimbangan mengenai pandemik di tahap 16%.

Seramai 57% pengundi yang ditinjau juga memberitahu Merdeka Center, kedudukan ekonomi mereka lebih buruk berbanding sebelum kawalan pergerakan menunjukkan kesan.

Seramai 68% pengundi juga berpendapat, keadaan ekonomi negatif berbanding setahun lalu dan seramai 51% puas hati dengan pengurusan ekonomi berbanding 43% yang tidak puas hati.

Majoriti pengundi itu juga, seramai 70% puas hati dengan kaedah kerajaan menangani masalah tersebut.

Jumlah itu meningkat berbanding seramai 54% yang berpuas hati pada Januari, sewaktu jumlah kes di paras lebih 4,000 kes sehari.

Majoriti pengundi tersebut, seramai 74%, juga percaya kerajaan pimpinan Muhyiddin membantu rakyat sewaktu pandemik, berbanding 25% yang tidak berpuas hati.

Tinjauan itu juga mendapati pengundi optimis bahawa sektor ekonomi akan dibuka semula selepas vaksinasi dilaksanakan, menurut Merdeka Center.

Ia dijana daripada bantuan kewangan kepada isi rumah dan perniagaan yang terjejas serta kelonggaran untuk mengeluarkan tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, menurut badan itu. – 23 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen