Melayu luar bandar pilih Perikatan, menurut kajian Merdeka Centre 


Chan Kok Leong

Menurut kaji selidik yang dijalakan Merdeka Centre kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi pilihan Melayu luar bandar dan golongan berpendapatan rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2021.

MELAYU di kawasan luar bandar dan berpendapatan rendah lebih cenderung kepada parti Perikatan Nasional (PN) berbanding Pakatan Harapan (PH), menurut kajian tahun lalu oleh Merdeka Centre for Opinion Research ketika perubahan kerajaan.

Kaji selidik yang dijalankan antara 12 Mac dan 21 Ogos tahun lalu itu bagi memahami kecenderungan politik pengundi dengan bertanyakan soalan berhubung politik perkauman dan perkongsian kuasa antara etnik.

Ia mendapati orang Melayu berpendapatan rendah di kawasan luar bandar memilih PN manakala golongan berpendapatan tinggi di bandar memilih PH.

Dapatan itu dibentangkan kepada parti politik baru-baru ini dan dilihat The Malaysian Insight.

Menurut Merdeka Centre kecenderungan terhadap kerajaan PN lebih tinggi berbanding PH (21.6%) pada 67.6%.

Bagaimanapun, kaji selidik itu tidak mengambil kira penolakan Umno untuk bekerjasama dengan PN pada pilihan raya umum akan datang.

Umno hanya membuat keputusan itu pada perhimpunan agung parti Mac tahun ini, manakala kaji selidik dijalankan sejurus selepas PN menjatuhkan PH dan mengambil alih Putrajaya melalui Langkah Sheraton pada akhir Februari tahun lalu.

Bagi tujuan kaji selidik itu, 1,251 responden dibahagikan kepada lima kumpulan berdasarkan lokasi (luar bandar vs bandar), etnik, tahap pendapatan dan jenis pekerjaan.

Lima kumpulan berkenaan adalah:

Kumpulan 1 - Melayu, bekerja sendiri, luar bandar, lelaki, berumur 40 tahun ke atas dengan pendapatan isi rumah RM3,000.

Kumpulan 2 - Melayu, jantina campuran, bekerja sendiri, luar bandar, berumur 40 tahun ke atas dengan pendapatan isi rumah RM3,000.

Kumpulan 3 - Melayu, jantina campuran, sektor swasta atau perniagaan, luar bandar, umur pertengahan dengan pendapatan isi rumah RM3,000.

Kumpulan 4 - bangsa campuran yang terdiri daripada 66% Melayu dan 34% bukan Melayu, jantina campuran, sektor swasta atau bekerja sendiri, separa bandar dan luar bandar, berumur di bawah 40 tahun dengan pendapatan rendah dan sederhana.

Kumpulan 5 - 86% bukan Melayu, jantina campuran, berumur 40 tahun ke atas, dengan pendapatan tinggi.

“Kumpulan 1 dan 2 (orang Melayu, luar bandar, berpendapatan rendah) tidak menerima kepelbagaian etnik dan gabungan parti pelbagai etnik,” kata Merdeka Centre.

Menurut kajian itu, 91% dari Kumpulan 1 dan 88% dari Kumpulan 2 lebih memilih Perikatan Nasional.

“Sementara itu Kumpulan 3 dan 4, diposisikan di pertengahan dari segi penerimaan parti pelbagai etnik.

“Sebanyak 75% daripada Kumpulan 3 menyokong PN sementara 15% memilih PH. Dalam Kumpulan 4, 61% memilih PN sementara 23% adalah penyokong PH.

“Kumpulan 5 ( kawasan bandar dan pendapatan lebih tinggi), sebaliknya, sangat menyokong kepelbagaian etnik dan perkongsian antara etnik yang sama dalam politik. 56% daripada Kumpulan 5 memilih PH sementara 22% memilih PN,” kata Merdeka Centre. – 7 Mei, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen