Kekal dalam PAS tetapi undi Pakatan, pesan Mahfuz kepada rakan-rakannya


Zulkifli Sulong

Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar sedar ramai pemimpin dan ahli PAS mahu bersama Pakatan Harapan tetapi takut dikaitkan dengan Amanah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Januari, 2018.

BEKAS naib presiden PAS, Mahfuz Omar yang keluar daripada parti itu pada 31 Disember lalu meninggalkan pesanan khas untuk rakan-rakannya dalam PAS, kekal bersama parti tetapi mengundi Pakatan Harapan (PH) untuk pilihan raya akan datang.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, beliau sedar ramai pemimpin dan ahli PAS mahu bersama PH tetapi takut dikaitkan dengan Amanah, parti komponen PH yang berasal daripada PAS.

Ekoran tindakan pemimpin parti Islam itu memberikan pelbagai label kepada ahlinya yang lari menyertai Amanah termasuk “pengkhianat kepada agama dan jamaah”, ia menyebabkan hubungan tegang antara mereka khasnya di kampung-kampung.

“Saya faham, keberanian itu tak sama antara seorang dengan yang lain. Jadi saya bawa mesej ahli PAS tidak perlu keluar tetapi bagi undi kepada PH kerana PAS tak sedia ambil alih kerajaan apabila mereka mahu menang 40 kerusi sahaja,” katanya.

Menurut Mahfuz, beliau tidak keluar daripada PAS lebih awal bertujuan bagi membolehkan beliau memujuk parti Islam itu menyertai PH.

“Saya lihat PAS ada keinginan untuk bersatu tetapi cuma tidak sedia bersama Amanah dan DAP. 

“Malah dengan PKR dan Bersatu sering ada program sepentas yang dianjurkan oleh PAS,” katanya.

Sebab itu, katanya, beliau tidak mahu keluar dahulu daripada PAS, tetapi berusaha pastikan PAS bersama PH.

Gelombang Bersatu

Katanya, penubuhan Bersatu adalah gelombang baru dan ramai pemimpin PAS mahu bersama dengannya.

“Bersatu adalah gelombang baru. Ramai pemimpin PAS ingin bersama.

“Tetapi nampaknya ia disekat oleh pemikiran yang keras dalam parti itu yang tak mahu mencari persamaman tetapi mencari perbezaan, lalu dihamburkan dalam media,” katanya.

Pada Muktamar 2017 pula, PAS memutuskan hubungan tahaluf siasi dengan PKR.

Selepas itu, Mahfuz berkata beliau memutuskan untuk berusaha menarik ahli PAS agar menyokong PH.

“Saya buat kenyataan lupakan PAS tetapi fokus kepada ahlinya agar mereka menyokong PH dalam pilihan raya nanti,” katanya.

Sebelum itu, kata Mahfuz, beliau bergerak ke seluruh negara dengan mengadakan pertemuan dan ceramah politik serta kenyataan media bersama PH.

Antara yang berlaku adalah pertemuan antara Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dengan Tun Dr Mahathir yang dibuat beberapa kali.

“Ia baik pada awalnya sehingga ditandatangani persetujuan awal tetapi selepas itu dibatalkan dengan satu kenyataan ia hanya sembang-sembang,” kata Mahfuz.

Ia merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Tuan Ibrahim selepas menandatangani satu persetujuan awal dengan Bersatu tetapi ditolak oleh pimpinan atasan PAS.

Apa yang perlu dibuat oleh PH sekarang adalah mendapatkan seramai mungkin ahli dan penyokong PAS mengundi PH walaupun mereka kekal dalam parti lama mereka, katanya.

Penyokong PAS

Menurut Mahfuz, penyokong PAS terbahagi kepada beberapa kategori termasuk yang tegar; ahli biasa; bukan ahli tetapi penyokong dan pengundi PAS; dan pengundi atas pagar yang mengundi PAS.

“Pengundi PAS tegar kita boleh tolak tepi, tak perlu kita bagi tumpuan. Yang lain, kita kena tumpu.  

“10 hingga 15% sahaja ahli PAS tegar, yang lain adalah ahli dan penyokong biasa sahaja,” katanya.

Katanya, ahli PAS di Pokok Sena sendiri sudah menyusun pelbagai program untuk beliau selepas meninggalkan parti itu.

“Selasa ini saya mula balik. Saya akan jumpa ahli PAS di Pokok Sena. Bahkan sudah ada permintaan (daripada ahli PAS) untuk tubuh PDM (Pusat Daerah Mengundi) PH. 

“Mereka yang nak tubuhkan, mereka yang bersungguh padahal mereka tak keluar parti lagi. Mereka tak tulis surat pun (keluar parti) macam saya,” kata Mahfuz menjelaskan reaksi ahli PAS terhadap tindakan beliau keluar parti.

Selepas mengumumkan keluar PAS, suasana biasa sahaja berlaku di peringkat bawahan, berbeza dengan peringkat atasan PAS, kata Mahfuz.

“Umumnya apabila saya pergi ke tempat kenduri, mereka sambut baik, tahniah dan sebagainya kepada saya. Bila saya pergi ke kawasan Bukit Lada, kawasan Parlimen saya, orang ramai datang jumpa. 

“Cuma yang tegar tu biasalah. Kita hanya menjaga hubungan baik dengan mereka,” katanya.

Bagi beliau, tindakan pemimpin PAS mengecam beliau tidak ada beza sangat dari awal perpecahan sehingga tertubuhnya Amanah dahulu dengan semasa beliau keluar.

“Tidak ada hujah sebenarnya. Mereka terpaksa berbuat begitu untuk membenteng agar ahli PAS tidak terpengaruh dan lari meninggalkan parti itu. 

“Mereka bimbang jika tidak dibenteng dengan ketakutan, kalau kamu pergi, kamu pengkhianat, ahli PAS juga akan pergi meninggalkan parti itu,” kata Mahfuz.

Menurut Mahfuz, ketika Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turun ke Kedah baru-baru ini, yang turut serta di majlis itu adalah bekas-bekas pemimpin termasuk bekas calon PAS.

“Antaranya adalah Abdul Rahman Lin, imam Masjid Kampung Padang Hang yang pernah menjadi calon PAS DUN Alor Janggus (sekarang ini Anak Bukit),” kata Mahfuz.

Mahfuz Omar masih menjaga hubungan baik dengan rakan dan ahli PAS walaupun sudah keluar daripada parti Islam itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Januari, 2018.

Sokongan di Kedah

Kata Mahfuz, sejak awal lagi sokongan terhadap PH sangat kuat di Kedah terutama apabila menteri besar Mukhriz Mahathir dipecat daripada jawatan itu.

“Sambutan terhadap Mukhriz di Stadium Darul Aman menjelang Pemangku Raja Kedah bersidang untuk mendapat pendirian setiap wakil rakyat di Kedah adalah tandanya,” kata beliau.

Malam itu, ketika pertandingan bolasepak antara pasukan Kedah dengan dengan sebuah kelab dari Pulau Pinag, anak muda memenuhi stadium memberikan sokongan kepada Mukhriz, yang turut dihadiri Mahfuz.

“Saya lihat anak muda memberikan sokongan padu kepada Mukhriz. Yang hadir pula adalah anak-anak muda termasuk anak orang PAS dari kampung yang menjadi kubu PAS,” katanya.

Oleh itu, beliau yakin dengan gelombang perubahan di Kedah ekoran pengaruh Dr Mahathir dan anaknya Mukhriz.

“Saya yakin gandingan dengan rakan-rakan yang dahulunya PAS dan PKR serta DAP,  Kedah akan jatuh ke tangan PH. 

“Ia sudah menjadi perbualan bukan saja rakyat biasa tetapi pegawai kerajaan di Kedah.

“Mereka kata, kali ini mereka nak Putrajaya dan Alor Setar serentak bukan macam 2008 lalu apabila negeri saja yang jatuh, mereka susah hendak mentadbir,” katanya.

Kedudukan PAS

Mahfuz menyokong PAS terus kuat sebagai sebuah jamaah Islam tetapi bukan sebagai badan politik.

“Saya sebut kepada ahli PAS, tuan-tuan boleh kuatkan PAS sebagai jamaah Islam, tetapi dalam konteks kuasa politik berilah kepada pihak lain untuk uruskan hal negara kita kerana pemimpin PAS tidak berminat berbuat demikian,” katanya.

Beliau memberikan contoh apa yang berlaku di Turki di mana parti seumpama PAS, Saadet adalah sebuah parti yang kuat dengan mempunyai ahli yang komited, membuat intitusi pendidikan sendiri dan mempunyai badan sosial sebagaimana PAS.

Tetapi, katanya, dalam politik rakyat Turki memberi undi kepada AKP pimpinan Tayyib Erdogan, presiden Turki sekarang. – 8 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen