Campur tangan politik jadi budaya sebab terlalu hormat pemimpin, kata Dr M


Mohd Farhan Darwis

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerana budaya terlalu hormat kepada pemimpinlah orang politik mula mengambil kesempatan termasuk terhadap eksekutif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2021.

BUDAYA terlalu hormat kepada pemimpin menyebabkan berlakunya campur tangan politik dalam pasukan keselamatan, kata Dr Mahathir Mohamad, mengulas pendedahan ketua polis negara Abdul Hamid Bador minggu lalu.

Bekas perdana menteri berkata, pasukan polis sebenarnya diberikan kebebasan untuk tidak terikut dengan orang politik tetapi menyerahkan kebebasan itu kerana terlalu hormat kepada pemimpin.

“Sebenarnya polis diberi kebebasan tidak dicampur tangan orang politik. Tapi tabiat orang kita terlalu hormat pemimpin dan benda yang dia tak patut ikut dia ikut, itu masalah. 

“Saya dapati bukan sahaja polis, pegawai lain pun bila dibuat satu yang salah datang daripada pembesar dia lakukan,” katanya, dalam wawancara bersama Dialetika TV, yang disiarkan secara langsung melaui Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, disebabkan budaya terlalu hormat kepada pemimpin itulah, orang politik mula mengambil kesempatan, termasuk terhadap eksekutif.

“Orang politik ambil peluang. Guna kedudukan untuk kuasai golongan eksekutif.

“Sepatutnya tak berlaku tapi tabiat kita yang ada masalah. 

“Saya fikir kita kena terima hakikat orang politik tak patut guna pegawai terutamanya untuk buat sesuatu yang salah,” kata Dr Mahathir.

Abdul Hamid Bador dalam sidang media terakhirnya pada Jumaat mahu campur tangan politik dalam urusan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dihentikan serta merta demi masa depan negara.

Tanpa berselindung beliau juga mendedahkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin melanggar batas campur tangan dalam urusan pentadbiran pasukan polis.

Katanya, tindakan campur tangan politik seperti itu hanya menyebabkan pecah belah dalam pasukan polis sehingga muncul amalan berpuak dalam pasukan. – 3 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen