Bukan pertama kali Felda kena audit, kata Shahrir


Ikhwan Zulkaflee

Pengerusi Felda Shahrir Samad (tengah) berkata selepas penggantungan bekas pengarah besarnya Faizoull Ahmad pada 2014, Felda telah menjalankan audit terhadap projek-projek yang dilaksanakan dibawah kendalian Faizoull, termasuk projek ternakan ikan sturgeon bernilai RM47.6 juta. – Gambar The Malaysian Insight, 7 Januari, 2018.

AUDIT forensik bagi skandal penukaran hak milik tanah strategik Felda di Jalan Semarak akan bermula esok, menurut pengerusinya Shahrir Samad. 

Shahrir berkata ini bukan kali pertama Felda diaudit bagi menyiasat salah laku dalam urusniaga agensi tersebut.  

Menurutnya, selepas penggantungan bekas pengarah besarnya Faizoull Ahmad pada 2014, Felda telah menjalankan audit terhadap projek-projek yang dilaksanakan dibawah kendalian Faizoull, termasuk projek ternakan ikan sturgeon bernilai RM47.6 juta.

“Audit itu dilakukan pada 2015 kemudian disambung pula oleh proses audit oleh Ketua Audit Negara.  
“Kemudian tindakan diambil alih SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berasaskan kepada dapatan audit, dan dibawa ke mahkamah,” Shahrir berkata dalam satu sidang media di Pangsapuri Desa Hasnah Ahmad, di Johor Baru hari ini. 

Shahrir mengulas mengenai perkembangan siasatan terhadap skandal penukaran hak milik tanah Felda, yang menyaksikan pihak polis mengambil keterangan dari bekas pengerusi agensi itu, Isa Samad bagi membantu siasatan. 

Shahrir juga mengulangi kesediaan Felda untuk bekerjasama sepenuhnya kepada badan penyiasat dan menegaskan hukuman setimpal akan dikenakan kepada pesalah jika berlakunya sebarang salah laku dalam perkara tersebut.  

“Jadi apa dapatan (dari audit tersebut) mungkin akan ada tindakan disiplin, tindakan dalama  atau tindakan undang-undang lain kalau terjumpa apa-apa aspek perkara yang boleh dianggap salah laku. 

“Bagi kita, kita takkan berkompromi mengenai soal tanah milik Felda. Kita berpendapat pemindahan milik itu ialah satu satu salah laku dan kita nakkan tanah itu balik,” katanya lagi. 

Shahrir berkata kos bagi audit forensik ini yang dijalankan oleh badan luar akan ditanggung sepenuhnya oleh Jabatan Perdana Menteri.

Perdana Menteri Najib Razak Khamis lepas  mengumumkan yang kerajaan telah melantik firma audit luar pada Disember lepas menyiasat “penipuan kewangan” dalam skandal itu.

Empat bidang tanah dianggarkan bernilai lebih RM270 juta milik Felda di Jalan Semarak dipindah milik kepada syarikat dikuasai Synergy Promenade yang beri surat wakil kuasa penuh untuk memajukan tanah berkenaan.

Tanah itu sepatutnya dibangunkan untuk Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC). 

Transaksi ini berlaku ketika Isa menjadi pengerusi Felda sejak 2011 hingga awal Januari 2017. – 7 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Diharapkan siasatan ini berjalan dengan lancar dengan sokongan semua pihak dan hukuman setimpal akan dikenakan kepada pesalah jika berlakunya sebarang salah laku dalam perkara tersebut.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan