Pemain industri runcit tidak optimis masa depan e-dagang


Bernard Saw

Kedai fizikal dijangka kembali popular dan mengatasi perniagaan dalam talian selepas sekatan pergerakan dilonggarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 April, 2021.

RAMALAN awal yang perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk mengekang pandemik Covid-19 akan menyaksikan platform e-dagang menggantikan kedai fizikal semakin pudar, apabila pemain sektor peruncitan mencatat penurunan membeli-belah dalam talian, ketika sekatan pergerakan dilonggarkan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight hanya platform e-dagang yang khas dalam produk tertentu dapat mengatasi pesaing fizikal tradisi mereka. Apabila melibatkan barangan yang memerlukan tempahan khas, kedai dalam talian mungkin tidak sesuai, kata pemain industri.

Timbalan Presiden Persatuan Peruncit Malaysia (MRCA) Liew Bin berkata penjualan dalam talian biasanya tidak mencukupi untuk menampung kos operasi peruncit.

Sebagai contoh perniagaan katering makanan, subsektor ini menunjukkan prestasi baik semasa penutupan wabak tetapi apabila mereka dikenakan 30% hingga 35% levi penjualan oleh rakan penghantaran, mereka tidak dapat menampung perbelanjaan.

“Kini semua orang berada di rumah lebih setahun, dan mereka sangat bosan dengan makanan bungkus. Orang lebih cenderung makan di luar,” kata Liew.

“Kecuali anda mempunyai produk yang sesuai ketika memulakan perniagaan dalam talian dan mempunyai jenama sendiri, ia sukar untuk menjana pendapatan,” tambahnya.

Beliau menjangka peruncit tradisional yang memulakan platform dalam talian semasa wabak kembali fokus memperbaiki kedai fizikal mereka, kerana sekatan pergerakan semakin longgar. 

Bagaimanapun, ada yang mungkin mengekalkan platform dalam talian mereka sebagai aliran pendapatan lain, kata Liew.

Sektor lain yang mungkin terkesan selepas vaksinasi menjadi lebih meluas termasuk penyedia perkhidmatan pengangkutan, yang mengaut keuntungan semasa wabak.

“Semakin banyak orang keluar makan dan membeli-belah, pesanan dalam talian akan berkurangan dan ini akan mempengaruhi mereka yang dalam bidang pengangkutan dan logistik,” kata Liew.

Tahun lalu, Malaysia disebut-sebut sebagai satu daripada lima pasaran e-dagang terbesar di Asia Tenggara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 April, 2021.

Berdepan saingan

Peruncit tradisional boleh memberi tumpuan kepada tempahan khas dan penjenamaan bagi mengelakkan ia digantikan oleh pesaing e-dagang, tambah Liew. Bagi restoran, memperbaiki pengalaman makan di kedai adalah sesuatu yang tidak boleh ditandingi oleh penghantaran makanan dalam talian.

Atas sebab yang sama, Hong Chee Meng, presiden Gabungan Persatuan Peniaga Barangan Malaysia, percaya platform membeli-belah dalam talian seperti Shopee dan Lazada tidak akan menjadi pesaing kepada kedai runcit tradisional.

“Platform ini hanya akan menurunkan harga produk tertentu seperti Milo atau jenama tertentu, tetapi bukan barang lain. Sebilangan pembeli membeli barangan ini secara dalam talian dan kemudian menjualnya kembali ke pasar mini.”

Hong mengakui kos pengangkutan juga tinggi, itulah sebabnya walaupun menjual barang dalam talian dengan murah, platform beli-belah dalam talian tidak dapat menandingi kedai fizikal dan pasar raya.

“Sebagai contoh, Shopee melakukan tugas yang baik dalam menjual pakaian, beg dan kasut, tetapi keadaan sama tidak berlaku pada barangan runcit,” kata Hong.

Tabiat pengguna juga mempengaruhi ketika membeli makanan dan barang makanan dalam talian, pelanggan cenderung membandingkan harga dan hanya akan membeli jika harga lebih murah, tambahnya.

Tetapi terdapat had bagi platform dalam talian memberi diskaun, atau mereka akan berdepan masalah dengan pemborong, kata Hong.

Wong Keng Fatt, presiden Persatuan Pemborong Sayuran Kuala Lumpur bersetuju yang pelanggan lebih suka berbelanja di pasar untuk mendapatkan makanan segar.

Semasa wabak tahun lalu, pembelian sayur-sayuran segar yang dihantar ke rumah adalah popular, tetapi sekarang tidak mudah untuk menjual dalam talian.

Sementara itu, Hong berkata bukti jelas menunjukkan kedai runcit fizikal akan kembali popular.

“Lot10 membuka Don Don Donki (sebuah rangkaian kedai Jepun) dan Wanda City akan membuka CU (sebuah kedai serbaneka Korea).

“Jika benar kedai runcit kecil mempunyai ramalan perniagaan yang buruk, mereka tidak akan masuk, dan tidak banyak rangkaian kedai dibuka di Malaysia,” kata Hong.

Tahun lalu, Malaysia disebut-sebut sebagai satu daripada lima pasaran e-dagang terbesar di Asia Tenggara. 

Jumlah urus niaga tahun lalu meningkat dua kali ganda daripada RM3 bilion kepada RM6 bilion kerana wabak, dan tahun ini dijangka mencecah RM10 bilion. – 27 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen