Umno mohon nasihat RoS, MKN untuk buat pemilihan parti


Mohd Farhan Darwis

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, ia bagi memastikan kelancaran proses pemilihan selaras peraturan dan undang-undang selain prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 April, 2021.

UMNO akan menulis surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan nasihat berkenaan pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung pada Jun ini, putus Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, ia bagi memastikan kelancaran proses pemilihan selaras peraturan dan undang-undang selain prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Mesyuarat hari ini juga memutuskan untuk menghantar surat kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meminta nasihat dan garis panduan bagaimana untuk Umno menjalankan pemilihan parti pada tahun ini selaras peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan Umno dan SOP Covid-19.

“Ini bagi memastikan proses pemilihan parti dapat diadakan dengan berkesan dan lancar, mengambil kira jumlah jangkitan Covid-19 yang meningkat,” kata Ahmad Maslan, pada sidang media selepas mesyuarat Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Menara Dato Onn, di ibu negara, hari ini.

Jelas beliau, pemilihan Umno akan melibatkan mesyuarat perwakilan Umno cawangan-cawangan termasuk sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri dengan jumlah keseluruhan 66,287 mesyuarat di semua 191 bahagian dengan hampir 3.3 juta ahli di seluruh negara.

Beberapa pemimpin Umno sebelum ini menggesa pihak pengurusan parti supaya tidak menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata Umno perlu mengadakan pemilihan parti segera untuk memastikan ia mempunyai kepimpinan yang jelas dan boleh diterima oleh rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bekas Presiden Umno Najib Razak membidas pandangan itu dengan berkata pemilihan parti sebelum PRU15 boleh menyebabkan Umno berpecah dan mereka yang kalah ‘dicuri’ oleh parti lain.

Namun Khairy menegaskan Umno kalah juga pada PRU14, ketika Najib memimpin parti, biarpun pemilihan parti pada masa itu ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya.

Barisan kepimpinan Umno sekarang dipilih pada Jun 2018 untuk mandat selama tiga tahun berakhir tahun ini.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memberi jaminan Umno tetap akan mengadakan pemilihan parti pada tahun ini dan semua jawatan akan dipertandingkan.

Penganalisis politik melihat pemimpin Umno kini berbalah mengenai tempoh pemilihan parti kerana mahu mengawal parti dan menyingkirkan seteru politik mereka.

Pemimpin dan ahli Umno kini berbahagi pandangan mengenai hala tuju parti menjelang PRU15 biarpun secara rasmi perhimpunan agung sudah membuat keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu. – 25 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen