Hak Zahid nak ganti saya, Shahidan


Mohd Farhan Darwis

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim berkata beliau belum menerima makluman rasmi daripada kepimpinan parti sebaliknya hanya dimaklumkan melalui kenyataan media. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 April, 2021.

SHAHIDAN Kassim berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhak untuk mengganti beliau sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perlis dengan menteri besar Azlan Man.

Katanya, beliau tidak mempertikaikan tindakan Zahid itu, yang diumumkan petang tadi.

“Saya nak maklum itu hak presiden, tiada masalah presiden nak lantik siapa pun pada pandangan beliau nak memimpin negeri,” kata Shahidan, dalam sidang medianya di ibu negara malam ini.

Ahli Parlimen Arau itu bagaimanapun berkata beliau belum menerima makluman rasmi daripada kepimpinan parti sebaliknya hanya dimaklumkan melalui kenyataan media.

Beliau juga sedang mendapatkan kesahihan berkenaan laporan berkenaan daripada Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

“Saya belum dapat makluman rasmi. Saya balik ke KL hari ini ingat esok ada mesyuarat pengerusi perhubungan.

“Kalau ikut makluman media, saya tak pergi mesyuarat esoklah,” katanya.

Umno dijadualkan mengadakan mesyuarat anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) esok di ibu pejabat parti dan pengerusi perhubungan negeri merupakan anggota lantikan.

Sementara itu, Shahidan yang juga ketua bahagian Arau berkata beliau akan menggerakkan kemenangan Umno di Perlis walaupun tidak lagi mengemudi Umno negeri.

“Saya sebagai ketua bahagian akan tetap gerakkan kemenangan di Perlis termasuk apa cara sekalipun,” katanya lagi.

Shahidan bgaimanapun mengharapkan layanan dan penghormatan sama diberikan kepadanya.

“Tapi saya harap semua orang hormat hak saya, siapa langgar keputusan parti kena tindakan disiplin seperti menyokong Anwar,” katanya.

Namun begitu, beliau turut mengingatkan agar jawatankuasa disiplin Umno turut menyiasat Zahid susulan dakwaan beliau menulis surat sokong Presiden PKR Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ambil tindakan disiplin terhadap orang yang langgar keputusan parti.

“Contoh tindakan disiplin harus dikenakan kepada orang yang tulis surat sokong Anwar, parti kata tak setuju sokong Anwar, kalau parti kata kita tak sokong tapi boleh sokong parti kena buat keputusan kalau tidak orang keliru,” kata Shahidan.

Beliau bagaimanapun mengakui terkesan dengan perkara itu dan menimbulkan kekeliruan kepada anggota parti.

“Parti kata ‘No Anwar, No DAP, no PKR’ tapu, kita dapati ada surat presiden kepada Agong dan disaksi Najib.

“Kita diam sebab nak jaga harmoni politik, ini langgar keputusan parti, kita kata ‘No Anwar’ tapi ada surat sokong Anwar

“Yang saya paling terkesan rakaman audio yang saya diganggu dalam Perhimpunan Agung Umno dirancang demikian rupa, ini menunjukkan ada perancangan sokong Anwar,” tambahnya.

Perkara itu katanya harus disiasat oleh jawatankuasa disiplin parti.

“Jawatankuasa disiplin kena ambil tindakan. Sama rakaman suara itu sah presiden atau Anwar, itu biar polis siasat,” katanya lagi.

Anggota MKT katanya harus mengambil pendirian mereka dalam mesyuarat esok untuk mengelakkan krisis kepimpinan Umno berterusan.

“Ahli MT kena ambil pendekatan ini. Masalah krisis kepimpinan berlaku dalam Umno. 

“Umno kena buat mesyuarat pemilihan ikut perlembagaan akhir Jun ini, tak boleh tangguh. Kalau tangguh akan jadi krisis kepimpinan. 

“Apa berlaku kepada saya menambah luka kepada parti,” kata Shahidan. – 24 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen