MB Perlis ganti Shahidan ketua Umno negeri, umum Zahid


Menteri Besar Perlis Azlan Man dilantik Zahid menggantikan Shahidan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2021.

SHAHIDAN Kassim digugurkan dari jawatan ketua Umno Perlis, sehari menjelang mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dijangka akan membincangkan tempoh pemilihan parti sama ada sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tempat beliau digantikan oleh Ketua Umno Kangar Azlan Man, yang juga menteri besar Perlis, umum Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Pertukaran ini berkuat kuasa mulai hari ini,” kata Zahid dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan itu, Zahid merakamkan terima kasih kepada Shahidan atas khidmatnya sebelum ini.

Shahidan sebelum ini adalah antara pemimpin Umno meluahkan pandangan terbuka mahu pemilihan parti diadakan pada tahun ini mengikut jadual dan tidak ditangguhkan sehingga selepas PRU15.

Kenyataan Zahid bagaimanapun tidak menyebut alasan pertukaran itu.

Menurut perlembagaan Umno, jawatan pengerusi badan perhubungan adalah lantikan presiden sekaligus membolehkan penyandang jawatan hadir ke mesyuarat MKT Umno.

Dalam pemilihan Umno pada 2018, Shahidan adalah antara tiga penyandang anggota MKT Umno yang gagal mempertahankan jawatan antara 25 kerusi yang dipertandingkan.

Shahidan sebelum ini dilihat bertembung secara terbuka dengan Zahid apabila mengumumkan Umno Perlis sedia bekerjasama dengan Bersatu dan semua parti dalam kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15.

Pengumuman yang dibuat menjelang Perhimpunan Agung Umno 2020 pada hujung Mac lalu menyebabkan beliau diejek dan disorak semasa berucap membahaskan ucapan dasar presiden.

Shahidan mendakwa ada gerakan mengatur perwakilan untuk mengejeknya pada perhimpunan agung parti.

Perhimpunan Agung Umno itu mengesahkan keputusan parti untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ia juga menetapkan keputusan menyerah mandat kepada Zahid dan MKT Umno untuk menentukan masa yang sesuai bagi Umno menarik balik sokongan kepada kerajaan Muhyiddin.

Selain tempoh pemilihan parti bagi menggantikan kepimpinan sekarang, MKT Umno esok dijangka menyentuh isu rakaman perbualan telefon yang didakwa antara Zahid dan Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang tersebar baru-baru ini.

Rakaman perbualan itu membayangkan wujud usaha dan percaturan kuasa antara Zahid dan Anwar, biarpun ketika Umno membuat ketetapan tiada kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu.

Shahidan sebelum ini mahu rakaman perbualan itu disiasat “untuk membersihkan nama Zahid.” – 24 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen