IKAN kembung masih menjadi pilihan pelanggan walaupun harganya naik di pasaran ekoran bekalan kurang dan permintaan tinggi, kata peniaga pasar basah.
Harga ikan kembung segar kini antara RM20 dan RM22 sekilogram.
Di pasar basah Chow Kit Kuala Lumpur, sekilo ikan kembung berharga RM16 hingga RM18, manakala ikan segar mencecah RM20 sekilogram.
Harganya tidak banyak berubah sejak tiga tahun lalu kerana ia turun naik antara RM16 dan RM22 bergantung kepada lokasi.
Pada ketika itu, kerajaan mempertimbangkan untuk meletakkan kembung dalam senarai harga barangan terkawal kerana tahap penggunaannya menjadi ukuran berbanding ikan lain.
Di pasar Pudu, harga ikan kembung beku adalah RM15 sekilogram manakala harga ikan segar antara RM20-RM22 sekilogram.
Namun peningkatan harga ikan itu tidak menghalang orang ramai membeli ikan tersebut.
“Saya menjual ikan kembung segar besar RM20 sekilo. Anda boleh dapat antara empat hingga lima ekor.
“Untuk saiz kecil, saya jual antara RM9 dan RM10 sekilogram.
“Ikan kembung beku berharga kira-kira RM16-RM18. Harganya mungkin tinggi tetapi orang masih beli,” kata seorang peniaga yang hanya dikenali sebagai Pakcik Bey.
Pakcik Bey yang sudah menjual ikan selama 40 tahun, berkata harga ikan kembung segar naik ekoran kekurangan bekalan, musim hujan dan bulan penuh.
Bagi ikan kembung beku, dia berkata harga naik disebabkan nilai ringgit yang rendah berbanding dolar AS.
“10kg ikan kembung beku berharga RM100. Kini ia meningkat sehingga RM213.”
Seorang lagi peniaga di pasar Pudu, Cassley Wong turut bersependapat dengan Pakcik Bey.
“Kembung merupakan kegemaran rakyat Malaysia. Ia sentiasa mendapat permintaan. Tetapi disebabkan bekalan tidak cukup, harganya naik. Permintaan terlalu tinggi.
“Tempoh penghantaran juga menjadi punca kenaikan harga ikan ini,” katanya yang sudah menjalani perniagaan selama 35 tahun bersama suaminya.
Wong menjual ikan kembung segar antara RM20-RM22 manakala ikan kembung beku dijual RM15 sekilogram.
Dia mendapat bekalan ikan kembung segar daripada Kedah dan Terengganu selain Thailand manakala bekalan ikan kembung beku dari India.
“Pelanggan saya tidak membeli kuantiti yang sama seperti sebelum ini tetapi mereka masih mahu membelinya.”
Dia berkata sebuah keluarga enam orang biasanya membeli enam ekor kembung tetapi kini mereka membeli hanya tiga ekor.
Selain kembung, pelanggan juga suka beli ikan senangin dan kerapu. – 17 April, 2021.
Komen