PENERBIT dan pelakon dalam satu iklan judi dalam talian yang tular kini disiasat kerana melanggar undang-undang dan mendatangkan kegusaran awam, kata polis.
Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan pasukannya menjurus kepada penerbit dan pelakon terlibat.
“Mereka akan dikesan dan akan dipanggil untuk memberi keterangan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka,” kata Acryl dalam kenyataannya.
Tambahnya, siasatan akan dibantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Iklan video sepanjang kira-kira 2 minit itu antara lain memaparkan seorang lelaki yang tidak mempunyai wang untuk menyambut hari raya.

Beliau kemudian ditunjukkan berjaya menggandakan wang apabila menggunakan perkhidmatan judi tersebut.
Pada masa sama iklan itu juga memaparkan lagu rentak lagu Melayu dengan bait lirik mengajak pemuda berkenaan untuk berjudi.
Babak seterusnya dalam video sepanjang kira-kira 2 minit itu, pemuda itu ditunjukkan berjaya pulang ke kampung untuk menyambut hari raya.
Seterusnya muncul beberapa individu yang melakonkan aksi menari-nari di hadapan sebuah rumah kampung sambil memakai pakaian tradisi dan ada di kalangan mereka menunjukkan aksi mengacau dodol.
Pemuda itu seterusnya menunjukkan keuntungan hasil perjudian kepada individu lain dalam video berkenaan, yang kemudian melakonkan aksi kagum.
Penyiaran video iklan itu menerima kecaman ahli Parlimen dan juga pengguna media sosial yang menganggap ia tidak menghormati sensitiviti Islam dan menghasut orang Muslim berjudi. – 16 April, 2021.
Komen