Iklan judi tema Hari Raya cabar undang-undang, kata ahli Parlimen


Dua ahli Parlimen menggesa kerajaan mengambil tindakan ke atas satu iklan judi dalam talian GDBet333 yang bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.– 16 April, 2021. 2021.

KERAJAAN perlu bertindak segera ke atas satu iklan judi dalam talian bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana menghasut orang Islam untuk berjudi, tegas dua ahli Parlimen.

Penyiaran iklan di Facebook itu juga mencabar undang-undang negara dan menyinggung perasaan umat Islam, tegas wakil rakyat ini yang merujuk iklan untuk perkhidmatan judi GDBet333.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dalam satu kenyataan berkata, tindakan perlu diambil kerana iklan berkenaan jelas melanggar Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“.... (GDBet333) mempengaruhi umat Islam menggunakan media sosial untuk berjudi selepas berpuasa di bulan Ramadhan semata untuk berhari raya.

“Ini amat bercanggah dengan kefahaman beraya yang bermaksud kembali kepada fitrah dan bersih dari dosa.

“Iklan GDBet333 ini boleh juga di kira sebagai menghasut umat Islam terutama anak muda untuk melakukan dosa,” katanya yang turut menggesa menteri dari PAS segera bertindak.

Ahli Parlimen PAS Ahmad Fadhli Shaari pula berkata individu yang bertanggungjawab mengeluarkan iklan tersebut perlu dihadapkan ke mahkamah.

Beliau melihat pihak bertanggunjawab di sebalik penyiaran iklan berkenaan seolah-olah mahu mencabar undang-undang negara dan tidak sensitif dengan kemuliaan bulan Ramadan.

“Tanpa sebarang syak, iklan itu benar-benar mencabar undang-undang negara bahkan juga kemuliaan bulan Ramadan,” katanya di Facebook.

Beliau juga menggesa SKMM mengambil tindakan segera.

“Kerajaan melalui SKMM wajib bertindak seberapa segera yang mungkin. Iklan itu wajib ditarik balik semula dan mereka yang bertanggungjawab menerbitkan iklan ini wajib diadili,” katanya.

Iklan berbentuk video itu antara lain memaparkan seorang lelaki yang tidak mempunyai wang untuk menyambut hari raya.

Beliau kemudian ditunjukkan berjaya menggandakan wang apabila menggunakan perkhidmatan judi tersebut.

Pada masa sama iklan itu juga memaparkan lagu rentak lagu Melayu dengan bait lirik mengajak pemuda berkenaan untuk berjudi.

“Apa ditunggu marilah cuba
Untung nasibmu engkau berjaya
Cuci semua kemudian beraya.

“Apa ditunggu marilah cuba
Menang banyak pasti happy”

Babak seterusnya dalam video sepanjang kira-kira 2 minit itu, pemuda itu ditunjukkan berjaya pulang ke kampung untuk menyambut hari raya.

Seterusnya muncul beberapa individu menari-nari di hadapan sebuah rumah kampung dan ada di kalangan mereka menunjukkan aksi mengacau dodol dengan memakai pakaian tradisi. – 16 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen