Warga asing boleh mohon pas lanjutkan tempoh tinggal, kata Jabatan Imigresen


Bagaimanapun, ini perlu disokong oleh kedutaan masing-masing, kata Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2021.

WARGA asing yang diarah meninggalkan negara ini pada 21 April tetapi tidak dapat berbuat demikian boleh memohon pas khas untuk melanjutkan tempoh tinggal mereka di Malaysia, kata Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud hari ini.

Bagaimanapun, ini perlu disokong oleh kedutaan masing-masing.

Selain itu, Khairul berkata mereka perlu sertakan sekali dokumen pembuktian mengenai tempat tinggal dan kemampuan kewangan sepanjang berada di negara ini

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada laporan media mengenai warga asing yang lawatan sosialnya telah tamat tempoh telah diarahkan tinggalkan negara sebelum 21 April atau mereka akan dikenakan hukuman.

“JIM memahami terdapat dalam kalangan pelawat asing ini yang menghadapi kesukaran untuk pulang ke negara mereka atas faktor ketiadaan penerbangan dan situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara asal mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jabatan itu juga menemui beberapa kes penyalahgunaan pas lawatan sosial oleh pelancong asing melalui operasi penguatkuasaan.

Antaranya ialah pekerja pusat hiburan, tukang urut, mereka yang terlibat dalam pelacuran, scammer dan kesalahan lain yang bertentangan dengan undang-undang.

Katanya, antara tahun 2020 hingga sekarang, jabatan itu telah menjalankan 291 operasi di pusat hiburan dan rumah urut.

Seramai 1,281 warga asing dan 83 majikan telah ditahan dalam operasi itu.

“Warganegara asing yang diberi kebenaran untuk tinggal di negara ini atas PLS (pas lawatan sosial) berkenaaan hendaklah mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan di bawah Akta Imigresen,”

“JIM juga telah memutuskan supaya warga asing berkenaan meninggalkan negara ini pada 21 April 2021,” tambahnya.

Beliau berkata kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Menurut laporan, e-mel yang menyampaikan peringatan itu dikirim kepada mereka yang terkandas di negara ini kerana perintah kawalan pergerakan.

Mereka yang tinggal di negara ini pada dan selepas tarikh akhir boleh dikenakan tahanan imigresen dan denda.

Misi diplomatik yang telah menghantar e-mel kepada warganegara mereka termasuk kedutaan Amerika Syarikat, Suruhanjaya Tinggi Britain, Kedutaan Romania dan kedutaan Itali. – 12 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen