Warga asing diminta perbaharui pas lawatan sebelum 21 April, kata laporan


Warga asing yang gagal memperbaharui pas lawatan mereka atau tinggalkan negara ini selewat-lewatnya 21 April akan ditahan Jabatan Imigresen dan didenda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2021.

WARGA asing di Malaysia diminta memperbaharui pas lawatan mereka selewat-lewatnya 21 April atau tinggalkan negara ini bagi mengelakkan didenda atau ditahan, lapor FMT.

Pemberitahuan dihantar melalui e-mel kepada pemegang pas lawatan tamat tahun lalu, selepas terkandas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Warga asing yang gagal memperbaharui pas lawatan mereka akan kenakan ditahan Jabatan Imigresen dan didenda. Antara yang menerima e-mel adalah rakyat Amerika Syarikat (AS), Britain, Romania dan Itali.

Warga AS di Malaysia mula menerima emel sejak 7 April dari program pendaftaran pengembara yang dijalankan Jabatan Negara AS.

“Pihak berkuasa Malaysia tidak menunjukkan tempoh itu telah dilanjutkan,” menurut emel dipetik FMT. 

“Warganegara AS di Malaysia yang memegang pas lawatan sosial yang sudah tamat tempoh perlu bersedia untuk meninggalkan Malaysia sebelum 21 April.”

Putrajaya masih belum mengumumkan sama ada tempoh penangguhan pas lawatan akan diperbaharui walaupun tempoh sekatan pergerakan dilanjutkan sehingga 14 April.

Beberapa kedutaan asing bagaimanapun memberi amaran kepada warga mereka memperbaharui pas lawatan untuk mengelak sebarang tindakan dari pihak berkuasa. – 11 April, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen