Pembelaan Najib ambil masa pendakwaan dengan hujah berjela


Hailey Chung Wee Kye

Pasukan pembela Najib sepatutnya selesai Khamis lalu namun telah mengambil masa diperuntukkan kepada pasukan pendakwa yang sepatutnya bermula hari ini.

PASUKAN pembela Najib Razak telah memperpanjangkan hari penghujahan rayuannya terhadap sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah SRC International dengan mengambil masa dua hari yang diperuntukkan untuk pihak pendakwaan.

Pasukan pembela sepatutnya selesai pada Khamis lalu namun telah mengambil masa yang diperuntukkan kepada pasukan pendakwa yang sepatutnya bermula hari ini.

Pada akhir perbicaraan hari ini, pihak pembela sekali lagi meminta hari tambahan iaitu esok untuk menyelesaikan penghujahan mereka.

“Nampaknya pasukan pembela kini ada enam hari dan pasukan pendakwa hanya ada empat hari,” kata timbalan pendakwa raya V. Sithambaram kepada wartawan di luar kamar mahkamah.

“Bila saya buat pengajuan, ia mungkin susah dikenali sebab ia akan tunjukkan dimensi yang berbeza… fakta yang tidak pernah dikemukakan oleh pihak pembelaan. Jadi saya tidak boleh potong, saya juga perlukan masa,” katanya.

Rayuan yang dimulakan pada Isnin lalu sebelum ini telah ditetapkan selama tiga minggu, dengan empat hari pada minggu pertama diatur untuk mendengar pengajuan pembelaan, diikuti oleh pasukan pendakwaan selama empat hari pada minggu kedua.

Hari ini adalah permulaan minggu kedua yang mana pihak pendakwaan telah membenarkan pasukan pembelaan untuk teruskan.

Hari ini, kedua-dua pihak juga bersetuju bahawa pasukan pembela akan menyelesaikan penyerahannya esok dan pendakwaan akan bermula pada hari Rabu.

Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil sebelum ini dengan tegas memperingatkan pasukan pembela untuk tidak terus mengulangi hujah yang sama bagi kes mereka.

Hakim Karim hari ini sekali lagi mengingatkan pasukan pertahanan untuk “terus kepada poin mereka.”

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta bagi kesalahan tujuh pertuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan, melibatkan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Najib telah mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuannya mengapa beliau perlu dibebaskan daripada pertuduhan tersebut. Ahli Parlimen Pekan itu kini diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan.

Rayuan itu didengar oleh panel tiga hakim, dipengerusikan hakim Karim. Dua hakim lain ialah Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Perbicaraan bersambung esok jam 9 pagi. – 12 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen