Hakim tegur peguam Najib ulang hujah dalam rayuan kes SRC


Hailey Chung Wee Kye

Najib Razak hadir di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini bagi rayuan kes SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 April, 2021.

PASUKAN pembela Najib Razak hari ini diberi amaran keras oleh Mahkamah Rayuan agar tidak berterusan mengulangi hujah yang sama dalam rayuan bekas perdana menteri itu terhadap sabitan dan hukumannya bagi kes rasuah SRC International.

“Anda mengulang fakta berulang kali,” kata Hakim Abdul Karim Abdul Jalil hari ini yang masuk hari keempat perbicaraan rayuan.

Hakim Karim - yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera - mengingatkan peguam Harvinderjit Singh agar memberikan hujah yang jelas dan “mengaitkannya dengan kesalahan”.

Karim juga memberitahu peguam agar tidak menggunakan hujah dan fakta bertindih.

“Saya faham anda cuba menekankan perkara itu, tetapi kami menyedarinya, ini Mahkamah Rayuan!” kata Karim, sambil menambah pihak pembelaan sepatutnya terus menyentuh isu undang-undang.

Pasukan pertahanan sejak awal permohonan rayuan Najib mempertikaikan pengalaman dan dakwaan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak cukup berpengalaman  dan tidak cekap “untuk mengendalikan perbicaraan abad ini”. Mereka mendakwa penghakimannya silap.

Peguambela juga dengan panjang lebar berkata penyalahgunaan dana di bawah kawalan pihak ketiga yang diatur oleh ahli perniagaan buruan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Pihak pembelaan mengelak daripada menjawab secara langsung pertanyaan hakim mengenai logik wang yang masuk ke dalam akaun Najib dan juga mengapa Jho Low menggunakan akaun pelanggan mereka untuk masukkan wang tersebut.

Pada 28 Julai 2020, Nazlan mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada Najib dan denda sebanyak RM210 juta bagi kesalahan tujuh pertuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan, melibatkan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Najib mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuannya mengapa beliau perlu dibebaskan daripada pertuduhan tersebut. Ahli Parlimen Pekan itu kini diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan.

Rayuan yang ditetapkan selama tiga minggu dengan minggu pertama bagi pendengaran hujah pasukan pembelaan, diikuti pasukan pendakwaan pada minggu kedua.
Perbicaraan diteruskan pada Isnin. – 8 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen