Penutupan sempadan halang agensi pembantu rumah bekal pekerja


Bernard Saw

Penutupan sempadan kerana pandemik Covid-19 tetap menghalang pengurusan pembekalan pembantu rumah asing di negara ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2021.

PENUTUPAN sempadan antarabangsa terus menerus kerana pandemik Covid-19 tetap menjadi halangan terbesar buat agensi pembantu rumah dalam melancarkan urusan pembekalan pekerja di negara ini.

Agensi-agensi ini memberitahu The Malaysian Insight walaupun kerajaan telah membenarkan mereka memproses permohonan perekrutan untuk pembantu rumah asing baharu, prosesnya tetap tidak menentu kerana karenah birokrasi dan masa pemprosesan lama, yang dijangka memakan masa sekitar tiga hingga empat bulan.

Ini kerana kerajaan mengatakan kemasukan pekerja asing ke negara ini bergantung pada bila sempadan dibuka kembali dan berdasarkan kebenaran Kementerian Dalam Negeri.

Pemain industri berkata ini tidak mungkin dan tidak praktikal kerana prosedur permohonan imigresen tidak akan dibuka kecuali sempadan dibuka.

Presiden Persatuan Agensi Pebantu Rumah Asing Malaysia, Foo Yong Hooi memberitahu The Malaysian Insight kerajaan belum mengumumkan prosedur permohonan terkini.

“Kami berpendapat prosedurnya serupa seperti sebelum ini,” katanya.

Masalah besar lain, tambahnya, ialah banyak kontrak agensi untuk pembekalan pekerja dari Filipina telah tamat.

“Kerana perintah larangan pergerakan (PKP) sudah lebih dari setahun, kontrak yang ditandatangani oleh banyak pusat perantara dan ejen di negara lain, termasuk Filipina, telah berakhir.

“Industri tidak dapat menandatangani kontrak baharu kerana ejen asing tidak mungkin datang memandangkan faktor-faktor seperti masa dan kos kuarantin, sementara Malaysia masih ditutup,” kata Foo.

“Bagaimana kita selesaikan masalah ini? Jika kita tidak selesaikan, dan dengan mereka tidak bersedia mengirim orang, semuanya akan kembali kosong.”

Beliau mencadangkan salah satu jalan penyelesaiannya adalah berunding dengan kedutaan Filipina untuk melanjut kontrak dalam tempoh singkat.

Foo turut mengangkat situasi lain di mana pembantu rumah yang telah diambil bekerja telah berhenti setelah terlalu lama menunggu di pusat latihan di negara asal.

Tambahnya agensi pembantu rumah tidak dapat memenuhi permintaan besar bagi pembantu rumah disebabkan keadaan ini.

“Kami ada 700 hingga 800 syarikat perantara. Jika setiap syarikat perlukan 10 orang, itu maksudnya 7,000 hingga 8,000 orang.”

Beliau juga percaya permintaan tempatan untuk pembantu rumah tidak akan dipengaruhi oleh kesan pandemik tersebut.

“Kerja dan kelas telah disambung semula sekarang. Tak perlu bekerja di rumah. Sebilangan kanak-kanak dalam keluarga pergi ke sekolah dan orang tua perlukan pekerja menjaganya,” kata Foo. β€“ 12 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen