Kerajaan benarkan pembantu rumah asing kembali ke Malaysia, kata menteri


Aminah Farid

Pembantu rumah asing yang terkandas di negara asal perlu dimohon melalui MyTravelPass dan menjalani kuarantin wajib 14 hari serta menjalani ujian calitan tiga hari sebelum kembali ke negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2021.

KERAJAAN setuju membenarkan pembantu rumah asing yang terkandas di negara asal kembali ke Malaysia, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Kebenaran itu bagaimanapun perlu dimohon melalui MyTravelPass dan mereka perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari serta menjalani ujian calitan (swab test) tiga hari sebelum kembali ke negara ini.

Semua kos termasuk kuarantin perlu ditanggung oleh majikan masing-masing, tambah Ismail Sabri.

“Ini bagi pembantu rumah mempunyai visa tetapi terkandas di negara asal.”

Sementara itu, Ismail Sabri kerajaan turut memutuskan untuk membenarkan pemprosesan permohonan pengambilan pembantu rumah oleh agensi.

“Kita dimaklumkan jangka masa proses setiap permohonan tiga hingga empat bulan kerana banyak yang perlu diperolehi, ia memakan masa.

“Permohonan itu boleh diproses mulai sekarang tetapi mereka tidak lagi boleh membawa masuk walaupun diluluskan sehingga kita membenarkan pekerja asing balik ke ngeara kita apabila sempadan negara dibuka,” tambah beliau. 

Bagaimanapun, kemasukan ke Malaysia tertakluk kepada pembukaan sempadan negara atau mendapat kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri, tambah Ismail Sabri. – 30 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen