Bukan tugas kumpulan sivil bayar kos warga asing tanpa dokumen, kata Suhakam


Ragananthini Vethasalam

Tugas kumpulan masyarakat sivil tidak termasuk menyediakan wang untuk menampung pekerja asing tanpa dokumen, kata Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2021.

PERANAN kumpulan masyarakat sivil adalah membela dan bukannya menampung perbelanjaan pekerja asing tanpa dokumen, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Mah Weng Kwai mengingatkan Hamzah Zainuddin.

Menteri Dalam Negeri semalam bertanya adakah kumpulan ini bersedia menampung perbelanjaan pendatang tanpa dokumen jika mereka sangat mengambil berat.

Menjawab perkara ini, Mah berkata seseorang perlu faham peranan kumpulan masyarakat sivil.

“Peranan mereka adalah untuk membela, mengemukakan masalah kepada kerajaan, dan memberi kesedaran dan sebagainya,” katanya kepada wartawan selepas perbincangan pihak berkepentingan Suhakam mengenai isu buruh paksa dalam industri pembinaan di Kuala Lumpur hari ini.

“Mereka telah menjalankan tugas mereka.

“Tugas mereka tidak termasuk menyediakan wang untuk menampung pekerja asing tanpa dokumen,” tambahnya.

Bagaimanapun, Mah berkata Hamzah boleh membuat kenyataan itu secara bergurau dan beliau mungkin tidak kelihatan serius mengenai perkara itu.

Sementara itu, seorang pesuruhjaya Suhakam lain, Jerald Joseph berkata, adalah tanggungjawab negara menguruskan semua orang di yang berada dalam wilayahnya.

Hamzah semalam berkata, kerajaan bertekad menghantar pulang warga dan pekerja asing dan warga asing tanpa dokumen, yang telah menyelesaikan hukuman atas kes jenayah, ke negara asal mereka.

Beliau menolak kritikan terhadap dasar oleh kumpulan masyarakat sivil, dan menambah kumpulan itu harus membayar pendatang untuk tinggal di Malaysia, jika mereka begitu peduli.

“Penghantaran pulang warga asing yang bersalah, apabila sampai masa kita hantar pulang. Hendak tahan mereka lagi buat apa? 

“Yang saya tak faham ada NGO minta jangan hantar pulang tu, kenapa?

“Kalau sayang sangat, mereka tanggunglah kos,” katanya pada sidang media melancarkan sistem baharu Imigresen di Kuala Lumpur, semalam. – 9 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen