Muda mahu kerjasama dengan pembangkang, kata pengasasnya


Raevathi Supramaniam

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sedang merundingkan kerjasama dengan parti-parti pembangkang yang sedia menerimanya untuk mengharungi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata naib presiden pengasasnya Dr Thanussha Francis Xavier.

Katanya, Muda perlu bersama dengan parti politik lain selepas Putrajaya enggan meluluskan pendaftarannya biarpun ia sudah mematuhi segala permintaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk meminda permohonannya.

“Realitinya di sini kami perlukan sebuah parti untuk menempuh PRU15 tetapi kami masih belum ada sebarang perjanjian dengan sesiapa mengenai perkara itu,” kata Thanussha, dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, baru-baru ini.

Kepimpinan Muda juga tambahnya sedang mengatur pertemuan dengan pemimpin beberapa parti pembangkang lain untuk membincangkan kerjasama itu.

“Kami ada berbincang dengan Warisan, di samping mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang lain. 

“Minggu lepas kami bertemu (Presiden Amanah) Mohamad Sabu, (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng. Minggu ini kami dijangka akan bertemu (Presiden PKR) Anwar Ibrahim dan (Pengerusi Pejuang) Dr Mahathir Mohamad.

“Muda mahu bersama dengan pembangkang. Kami percaya pembangkang yang bersatu dan kami sedang mencuba ke arah itu,” katanya.

Seorang lagi naib presiden pengasasnya Mutalib Uthman baru-baru ini memberitahu The Malaysian Insight, Muda sudah memulakan rundingan dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mahu melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia.

Perbincangan tersebut jelasnya masih di peringkat awal dan setakat itu, belum mencapai sebarang keputusan.

Thanussha menjelaskan rundingan Muda dengan parti politik lain mustahak untuk membolehkan parti baharu itu bertanding dalam PRU15, jika pendaftarannya sebagai parti politik masih tidak diluluskan oleh RoS.

“Menjelang pilihan raya kami perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak… kita perlu ada lambang.

“Baik juga jika ada mana-mana parti pembangkang yang sudi bekerjasama dengan kami,” katanya, lagi.

Beliau bagaimanapun menegaskan Muda tidak menyertai mana-mana gabungan politik.

“Kami tidak berunding untuk menjadi sebahagian daripada mana-mana gabungan. Kami hanya mahu bekerjasama.

“Menjelang pilihan raya umum, kami akan putuskan adakah akan bergerak sebagai satu gabungan besar atau bersama menggunakan logo yang sama,” katanya.

“Kami gembira jika dapat bekerjasama dengan pembangkang,” tambah Thanussha.

Jelasnya, hanya dengan pembangkang yang bersatu kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini boleh dikalahkan dalam pilihan raya.

“Piihan raya umum adalah matlamat kami, sebab itu kami mahu pembangkang bersatu dan bekerjasama kerana itu peluang yang ada.

“Jika kita berpecah, kita tidak berpeluang menang,” katanya.

Tiada kerjasama dengan kluster mahkamah

Namun Muda berpendirian untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana pemimpin politik yang terlibat dengan kes mahkamah, katanya.

“Buat masa ini pembangkang tidak bekerjasama dengan pemimpin dari kluster mahkamah, kami terima.

“Garis sempadan kami adalah tidak bekerjasama dengan sesiapa dalam kluster mahkamah,” katanya.

Mengenai pendaftaran Muda, Thanussha berkata RoS memberi maklum balas bahawa senarai barisan kepimpinannya sedang melalui tapisan keselamatan.

“Tiada garis masa ditetapkan (untuk RoS luluskan pendaftaran). Kami sudah menghantar surat kepada mereka, jika masih tiada respons balas kami akan ke mahkamah,” katanya. 

Muda diasaskan bekas ketua sayap Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas beliau tersingkir daripada parti itu kerana tidak menyokong kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin, yang juga presiden Bersatu.

Beliau menubuhkan parti itu bersama 12 pengasas yang lain dan menghantar permohonan untuk pendaftaran pada September 2020.

Pada awal Disember berikutnya RoS memaklumkan permohonan pendaftaran itu ditolak. – 9 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen