Warisan mahu masuk Semenanjung, Muda sedia kerjasama


Raevathi Supramaniam Mohd Farhan Darwis

MUDA sedang berunding dengan Warisan untuk bekerjasama dengan parti Sabah itu yang kini ingin melebarkan sayap ke Semenanjung, kata pengasas bersama parti itu Mutalib Uthman.

Mutalib memberitahu The Malaysian Insight, perbincangan dengan Warisan bermula minggu lalu dan perbincangan susulan dijadualkan pada minggu ini.

“Kita sedang dalam perbincangan dengan Warisan. Dikatakan, Warisan hendak masuk ke sini sebagai parti nasional.

“Jadi, kita tengah cari titik temu untuk buat sesuatu mengenai politik di Semenanjung. Kita tengah bincang. Ada perbincangan awal. Belum ada apa-apa lagi ...,” katanya.

Menurutnya fokus kerjasama itu diusahakan kerana kedua-dua parti itu mahu kekal sebagai entiti berasingan.

“Kita tengah cari titik temu sebab kita pun tak boleh paksa (Warisan) jadi kita dan dia pun tak boleh paksa kita jadi Warisan.

“Jadi titik temu kalau ada apa-apa isu yang kita boleh bincangkan dan mungkin boleh perjuang bersama,” katanya.

Tambahnya, perbincangan baru dimulakan minggu ini secara pangilan video dan mereka masih belum bersemuka.

Perbincangan kedua-dua pihak juga tidak melibatkan presiden parti dan sebarang perjanjian akan diumumkan kemudian.

Pengasas bersama Muda Mutalib Uthman berkata perbincangan dengan Warisan bermula minggu lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkelfi, 25 Mac, 2021.

Usaha tersebut dimulakan oleh Muda namun usaha itu belum dapat dimajukan kerana pendaftarannya masih menunggu kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Mutalib berkata pada masa ini, perbincangan hanya dibuat dengan Warisan.

Tambahnya, mereka tidak akan menyokong Perikatan Nasional dan mahu Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilantik menjadi perdana menteri seterusnya.

Presiden Warisan Shafie Apdal pada Disember mengumumkan perwakilan dalam mesyuarat agung menyokong usaha Sabah itu sebagai parti nasional.

Usaha itu akan menguntungkan lebih 300,000 rakyat Sabah yang kini berada di semenanjung dan Warisan juga terbuka untuk mengambil ahli yang berminat dengan ideologi parti.

Menurut Shafie, langkah Warisan itu bukan luar biasa kerana kerana Parti Bersatu Sabah dan Upko juga pernah melebarkan sayap ke semenanjung.

Malah parti berkenaan pernah bertanding di beberapa kerusi pilihan raya di Perak dan Pulau Pinang, katanya.

Menurut Shafie, Warisan akan menumpukan bahagian atau cawangan mereka di Selangor dan Johor, antara negeri dengan tumpuan rakyat Sabah. – 25 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen