Notis kebankrapan terhadap Najib bermotifkan politik, kata Shafee


Hailey Chung Wee Kye

Bekas perdana menteri Najib Razak menerima notis kebankrapan pada Isnin dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana gagal menjelaskan cukai tertunggak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 April, 2021.

NOTIS kebankrapan kerajaan terhadap Najib Razak adalah motif politik yang jelas mahu membatalkannya dari pemilihan dan jawatan dalam parti, kata peguamnya Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam itu berkata anak guamnya diberitahu dua hari selepas perhimpunan agung Umno berakhir pada 28 Mac mengenai notis kebankrapan. 

Ini katanya berlaku tepat selepas Umno pada perhimpunan agung memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu untuk pilihan raya akan datang.

“Jadi sangat jelas ini adalah penyalahgunaan proses, ini adalah ugutan. Sekiranya bukan pihak berkuasa undang-undang yang melakukannya, itu akan jadi tindakan jenayah 

“Sangat jelas bahawa ada orang-orang tertentu yang berusaha membatalkan beliau dari pemilihan dan jawatan dalam parti,” katanya kepada wartawan selepas proses rayuan Najib di Mahkamah Rayuan di Putrajaya petang tadi. 

Bekas perdana menteri itu menerima notis kebankrapan pada Isnin dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana gagal menjelaskan cukai tertunggak.

Notis itu bagi memperoehi semula bayaran cukai yang didakwa tidak dibayar bagi tempoh antara 2011 hingga 2017. 

Shafee juga berkata bahawa beliau akan mengajukan permohonan mengetepikan notis kebankrapan dan menghentikan proses kebankrapan atas nama Najib.

Permohonan itu akan didengar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Jun.

Mahkamah tinggi pada 22 Julai tahun lalu memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya. – 8 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen