4 kluster baharu dikesan, 3 berkaitan tempat kerja


Aminah Farid

Sehingga kini Malaysia telah mencatat 1,432 kluster Covid-19 sejak wabak bermula dengan 348 masih aktif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2021.

SEBANYAK empat kluster baharu dikesan oleh Kementerian Kesihatan dalam tempoh 24 jam terakhir, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata keempat-empat kluster itu dikesan di Selangor, Pulau Pinang, Pahang dan Johor dengan tiga berkaitan tempat kerja serta satu kluster komuniti.

Kluster Jalan Taming dikesan di sebuah kilang di daerah Petaling dan Hulu Langat di Selangor.

Kes positif dilaporkan dari kluster ini selepas pemeriksaan pekerja secara bersasar dilakukan.

Seramai 19 individu diuji positif dari kluster ini.

Kluster kilang kedua adalah kluster Perai Tiga Industri di Pulau Pinang yang melibatkan daerah Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara dan Timur Laut.

Sebanyak 66 kes dilaporkan selepas pemeriksaan bersasar dijalankan di kilang pada 3 April. Seramai 205 individu diperiksa.

Kluster kilang ketiga adalah Industri Parit Raja di Batu Pahat, Johor di mana 38 kes positif dikesan selepas pemeriksaan bersasar dijalankan pada 8 April.

Seramai 456 individu diperiksa dalam kluster ini.

Sementara itu kluster Padang Manggis yang merupakan kluster komuniti melibatkan daerah Pekan dan Kuantan di Pahang.

Kes indeks adalah individu simptomatik yang tinggal di Kampung Padang Manggis yang dikesan positif pada 2 April. Sebanyak 10 kes didapati positif setakat ini dengan 67 disaring dari kluster ini.

Negara ini telah mencatat 1,432 kluster sejak wabak bermula dengan 348 masih aktif. – Bernama, 8 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen