Pelanggan kurang kerana kompaun tinggi, kata pengusaha restoran


Khoo Gek San

Jumlah pelanggan makan di restoran merosot kerana mereka bimbang akan dikompaun akibat kecuaian yang tidak disengajakan, kata pengusaha. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2021.

KOMPAUN RM10,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan menyebabkan jumlah pelanggan restoran menurun, lantas pendapatan perniagaan merosot sehingga 40%, kata pengusaha.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, keadaan ini berlaku kerana pelanggan bimbang akan dikompaun akibat kecuaian yang tidak disengajakan.

Pengusaha restoran yang ditemu bual juga bingung dengan penguatkuasaan SOP yang tidak konsisten.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura Ho Su Mong berkata kompaun yang tinggi menjejaskan pendapatan pengusaha restoran.

“Apabila denda yang tinggi dikenakan, perniagaan kopitiam merosot antara 30% - 40%.

“Walaupun boleh merayu untuk kurangkan jumlah denda, orang ramai masih takut hendak makan di kedai, jadi jumlah pelanggan yang datang tidak seperti yang diharapkan,” katanya.

Denda maksimum RM10,000 dikenakan terhadap individu dan RM50,000 bagi syarikat atau perbadanan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021.

Selepas dikritik banyak pihak, kerajaan mengumumkan individu yang tidak memakai pelitup muka, tidak mengimbas kod MySejahtera atau mendaftar secara manual serta gagal menjaga jarak fizikal akan dikenakan denda RM1,500.

Diskaun 50% diberi jika denda dibayar dalam tempoh tujuh hari dan 25% dalam 14 hari.

“Kami berharap agensi kerajaan dapat meningkatkan keyakinan orang ramai dan tidak menyebabkan mereka takut berbelanja, yang akhirnya menyukarkan ekonomi untuk pulih.”

Selain itu, peguatkuasaan SOP yang tidak seragam antara pelbagai agensi di setiap negeri menimbulkan kekeliruan, kata Ho.

Jelasnya, salah seorang ahli persatuan yang mengusahakan kopitiam mengadu pernah didenda kerana cecair disinfektan yang digunakannya mempunyai buih.

Pengusaha juga takut setiap kali pegawai penguat kuasa datang ke kedai mereka.

Misalnya, Majlis Perbandaran Kuantan di Pahang mengehadkan waktu makan di kedai hanya sejam bagi setiap pelanggan. Pelanggan juga dikehendaki mengimbas semula kod MySejahtera selepas satu jam atau dikenakan denda.

“Industri restoran menyumbang 39% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan kami bersedia untuk bekerjasama melaksanakan SOP kerajaan. Tetapi penguatkuasaan antara negeri mestilah seragam,” katanya.

Oleh itu, beliau meneggesa Majlis Keselamatan Negara, agensi penguatkuasaan dan majlis perbandaran duduk berbincang untuk menyelaraskan SOP supaya tidak membebankan pengusaha kecil.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kafe Hotel dan Restoran Kuantan Sin Thin Sang berkata satu memorandum telah diserah kepada kerajaan negeri Pahang berkenaan peraturan had makan dalam kedai selama sejam.

Peraturan itu tidak munasabah kerana sukar untuk pelanggan makan dalam temph sejam, tambahnya.

“Pelaksanaan PKP 2.0 menyebabkan perniagan rugi lebih teruk berbanding PKP sebelum ini.

“Sekarang ini jumlah pelanggan merosot 30% berbanding tahun lalu.”

Beliau kecewa dengan penguatkuasaan di setiap negeri yang tidak seragam, yang menyebabkan industri serta orang ramai didenda tanpa alasan munasabah. 

Pelanggan lari kerana denda tinggi

Presiden Persatuan Restoran dan Chef Koo Soo Wong Teu Hoon berkata perniagaan restoran Cina terjejas selepas kerajaan menaikkan kompaun kerana melanggar SOP.

“Perniagaan merosot 40% semasa Tahun Baru Cina. Sekarang, semua orang risau, bimbang nak makan di restoran kerana  tak mampu nak bayar kalau didenda,” katanya.

Katanya, walaupun kerajaan menurunkan denda kepada RM1,500 bagi individu, namun hanya 20% pelanggan yang datang makan di restoran.

“Restoran Cina kebakannya luas. Sebuah meja boleh memuatkan sehingga 15 pelanggan sambil penjarakan fizikal ditetapkan.

“Pegawai penguat kuasa sentiasa datang memantau, dan restoran memenuhi standard yang ditetapkan.” – 5 April, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen