Arahan bekerja dari rumah dibatalkan bermula 1 April


Aminah Farid

Arahan sebelum ini yang hanya membenarkan 30% kakitangan pengurusan bekerja di tempat kerja tidak lagi terpakai.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2021.

MAJLIS Keselamatan Negara bersetuju untuk membenarkan pekerja kembali ke tempat kerja di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 1 April, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob. 

Beliau berkata ini bermakna arahan sebelum ini yang hanya membenarkan 30% kakitangan pengurusan bekerja di tempat kerja tidak lagi terpakai. 

Ismail berkata arahan baharu ini akan membenarkan perniagaan terutamanya kilang, untuk beroperasi pada kapasiti penuh.

Sebelum ini di bawah PKPB, hanya 30% kapasiti dibenarkan bagi kakitangan pejabat atau pengurusan. 

“Mesyuarat semalam bersetuju untuk membatalkan arahan 30% bekerja dari rumah untuk pengurus atau penyelia (di kawasan PKPB) kerana pekerja kilang tidak boleh bekerja dari jauh,” katanya. 

“Pekerja kilang sentiasa terlibat dengan kerja teknikal dan kompleks, dengan kakitangan berbeza perlu bekerja bersama. 

“Ini membolehkan syarikat beroperasi pada kapasti penuh,” kata Ismail. 

Tambahnya waktu kerja bagi penjawat awam akan diumumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPN) bila perlu. – 30 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen