Jangan kita jadi punca perpecahan, kata Hadi kepada pemimpin Melayu


Alfian Z.M. Tahir

Hadi (kiri) berkata beliau ditanya berkaitan situasi semasa politik yang sedang berlaku sehari selepas menghadiri perhimpunan agung Umno di mana beliau mengelak dari menjawab soalan media. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Mac, 2021.

SEMUA parti Melayu Islam perlu mengelakkan pertembungan antara satu sama lain, sebaliknya bekerja bersama ke arah perpaduan, kata presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Hadi berkata beliau ditanya berkaitan situasi semasa politik yang sedang berlaku sehari selepas menghadiri perhimpunan agung Umno (PAU) di mana beliau mengelak dari menjawab soalan media.

Melalui Facebooknya beliau hari ini, Hadi berkata terlalu banyak perpecahan antara parti-parti berasaskan Melayu.

“Masalah kita hadapi sekarang adalah perpecahan umat Islam. Maka PAS membawa agenda perpaduan ummah. Ummah yang dimaksudkan ialah umat Islam dan juga kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem. Inilah agenda perpaduan kita,” katanya.

“Oleh itu janganlah kita bersikap kasar kepada rakan-rakan kita. Sebaliknya kita harus menjalin persaudaraan dan tidak menjadi penyebab perpecahan. Bersabarlah dan jadilah pendamai,” katanya.

Pada PAU semalam, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan kesetiaan PAS terhadap perjanjian Muafakat Nasional (MN) yang ditandatangani kedua-dua parti pada 2019.

Zahid berkata Umno dan PAS telah bersetuju untuk tidak lagi bergabung dengan gabungan politik lain.

“Umno tetap tegas dengan pendirian ini. Belum terlambat untuk kita kembali ke pangkal jalan. Kaki kita mesti berpijak di tapak yang sama. Kita mesti tabah kerana (meninggalkan perikatan) tidak akan menguntungkan Umno atau PAS.”

Setelah ucapan Zahid, Hadi dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man berjalan keluar tanpa mengambil pertanyaan dari media yang menunggu.

Sehari sebelumnya, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda Aysraf Wajdi Dusuki mendesak PAS memilih antara Bersatu dan Umno menjelang pilihan raya umum ke-15.

Semalam, bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa dalam rancangan langsung Facebook, meminta maaf kepada PAS kerana kelakuan pemimpinnya pada PAU.

“Sebagai pemimpin bahagian dan menteri yang bekerjasama dengan PAS, jika ada yang menyakiti rakan dalam PAS, saya minta maaf.

“Umno secara keseluruhan mahu hubungan PAS dengan Umno terus dan lebih kukuh melalui MN. Saya mahukan hubungan kerja yang berterusan dengan PAS, ”kata Annuar.

“Umno secara keseluruhannya mahu hubungan dengan PAS berterusan dan lebih mantap melalui Muafakat Nasional. Saya mahu hubungan kerja dengan PAS berterusan,” kata Annuar. – 29 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen