Annuar mohon maaf kepada PAS atas layanan di Perhimpunan Agung Umno


Raevathi Supramaniam

Sebagai pemimpin bahagian dan menteri yang bekerjasama dengan PAS, jika ada yang menyakiti rakan dalam PAS, saya minta maaf, kata Annuar Musa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2021.

ANNUAR Musa memohon maaf kepada PAS atas cara bagaimana pemimpin parti Islam itu dilayan atau terasa dihina pada perhimpunan agung Umno (PAU) hari ini.

“Sebagai pemimpin bahagian dan menteri yang bekerjasama dengan PAS, jika ada yang menyakiti rakan dalam PAS, saya minta maaf.

“Umno secara keseluruhannya mahu hubungan dengan PAS berterusan dan lebih mantap melalui Muafakat Nasional. Saya mahu hubungan kerja dengan PAS berterusan,” kata bekas setiausaha agung parti itu dalam satu wawancara Bicara PAU 2020 yang disiarkan secara langsung di laman Facebook, malam ini.

Awal hari ini Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan PAS mengenai piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani bersama Umno pada 2019.

“Izinkan saya ingatkan PAS bahawa Umno telah bersetuju untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional. Tetapi kita tidak tahu gabungan baharu bernama Perikatan akan terbentuk tanpa Umno,” kata Zahid.

Katanya Umno dan PAS telah bersetuju untuk tidak lagi bergabung dengan gabungan politik lain.

“Umno tetap tegas dengan pendirian ini. Piagam MN yang termeterai belum sampai ke penghujungnya. Namun belum terlambat untuk kita kembali ke pangkal jalan.

“Kita mesti cekal kerana (tinggalkan perikatan) tidak akan menguntungkan Umno atau PAS.”

Semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan ketua pemuda Umno Dr Aysraf Wajdi Dusuki mendesak PAS memilih antara Bersatu atau Umno menjelang pilihan raya umum.

Annuar berkata sekiranya Umno tidak mahu dilayan buruk, ia tidak boleh buat perkara sama kepada pihak lain.

“PAS datang tahun lalu dan mereka datang lagi tahun ini ke PAU. Sebagai tetamu kita seharusnya menghormati mereka, inilah yang diajarkan oleh Nabi kepada kita.

“Kita mesti jaga mereka sebagai tetamu kita, ini adalah etika kita sebagai umat Islam. Sering kali pendapat ini bukan pendapat parti tetapi individu,” katanya.

Tambah Annuar tingkah laku Umno yang mahu menjadi ‘abang besar’ mungkin tidak berpanjangan.

“Cara kita bercakap kadang-kadang kita mahu didengar seperti ‘abang besar’, tapi kalau kita terus dengan mentaliti itu, orang lain akan jatuhkan dan kita tidak dapat mencapainya,” katanya. – 28 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen