Insiden Terusan Suez bagi impak maksimum kepada sektor sarung tangan, pengguna


Kapal kontena Ever Given telah tersadai secara menyerong melintasi Terusan Suez sejak Selasa lalu menyebabkan kesesakan lalu lintas marin yang teruk. – Gambar EPA, 29 Mac, 2021.

INSIDEN Terusan Suez yang tersekat akan memberi impak minimum kepada pendapatan pengeluar sarung tangan dan sektor pengguna bagi tahun kewangan yang berakhir 2021.

PublicInvest Research berkata anggaran awal membayangkan bahawa gangguan dua minggu memberi impak minimum, walaupun pasaran Eropah menyumbang 30 hingga 40 peratus daripada kuantiti jualan pengeluar sarung tangan.  

“Bagaimanapun, gangguan yang berterusan mungkin akan memburukkan situasi kekurangan kontena yang menyebabkan kelewatan penerimaan hasil bagi pengeluar sarung tangan,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini. 

Selain itu, potensi caj muatan yang lebih tinggi tidak akan mengurangkan margin pemain sarung tangan kerana kos perkapalan biasanya ditanggung pembeli.   

Meskipun pengeluar sarung tangan biasanya menerima hasil apabila barangan dihantar ke pelabuhan, namun, mereka dijangka memperoleh tempahan kapal sebelum mengangkut barangan ke pelabuhan, situasi kekurangan kapal mungkin menyebabkan kelewatan penerimaan hasil. 

Sementara itu, pemulihan aktiviti ekonomi global dijangka disokong oleh pelancaran program pemberian vaksin dan pakej rangsangan yang akan meningkatkan keyakinan pengguna. 

Memandangkan kepentingan Terusan Suez di Mesir kepada perdagangan dunia, insiden itu akan menjejaskan lagi rantaian bekalan global yang telahpun terkesan teruk. 

“Bagaimanapun, kami berpandangan ia tidak akan membawa impak besar kepada pendapatan syarikat di bawah liputan kami. 

“Berdasarkan pengiraan, kami menganggarkan impak pendapatan bagi Kawan Food dan QL Resources adalah minimum, pada 1.0 peratus sekiranya berlaku kelewatan penghantaran selama dua minggu kerana kedua-dua syarikat itu mempunyai kepelbagaian pasaran dari segi geografi. Eropah menyumbang 9.0 peratus daripada jualan Tahun Kewangan 2020 Kawan,” katanya. – Bernama, 29 Mac, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen