Kapal tersadai di Terusan Suez jejas bekalan di Asia


Kapal seberat 224,000 tan didaftarkan di Panama tersadai di laluan terusan Suez. – Gambar EPA, 26 Mac, 2021.

BEKALAN barangan, terutama dari Eropah ke rantau ini mungkin terjejas buat sementara waktu selepas sebuah kapal kontena sepanjang 400 meter tersadai di laluan Terusan Suez, kata Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung.

“Halangan yang berlanjutan ini akan menyebabkan beberapa pengeluaran inventori terjejas. Insiden itu melibatkan kapal-kapal yang berlayar mengelilingi benua Afrika - Tanjung Harapan - dan seterusnya ke Asia. Tempoh perjalanan akan bertambah antara seminggu hingga dua minggu,” katanya dalam catatan yang dibuat menerusi laman Facebooknya.

Ong menambah, sekiranya gangguan itu berterusan, PSA, pengendali pelabuhan Singapura menjangkakan berlaku kelewatan apabila syarikat perkapalan mengubah haluan perjalanan mereka.

“Mereka harus merancang lebih awal dan memastikan operasi terus berjalan lancar,” katanya.

Ong berkata, kapal kontena itu terkandas berikutan angin kencang dan kini menghalang salah satu saluran air tersibuk di dunia yang menyediakan laluan untuk sekitar 10% daripada perdagangan laut dunia.

Sebaliknya, menteri itu berkata Selat Melaka dan Singapura menyediakan laluan sekitar satu pertiga daripada perdagangan laut dunia.

“Sekiranya anda melihat peta dunia, anda akan menyedari bahawa keduanya saling berkait rapat dalam menghubungkan Eropah, Timur Tengah dan Asia,” katanya.

“Ini adalah satu lagi insiden malang yang menggambarkan bagaimana dunia sekarang saling berkaitan,” ujar beliau. – Bernama, 26 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen