Majlis Tertinggi Umno silap sahkan penggantungan, kata Tun Faisal


Mohd Farhan Darwis Hailey Chung Wee Kye Chan Kok Leong Diyana Ibrahim

Bekas timbalan ketua bahagian Umno Putrajaya berkata kenyataannya yang dianggap mengkritik Ahmad Zahid Hamidi hanya cadangan kepada presiden parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Mac, 2021.

TUN Faisal Aziz Ismail mahu Lembaga Disiplin Umno membuktikan kenyataan dan kritikan beliau terhadap presiden parti Ahmad Zahid Hamidi berbaur fitnah, sehingga menyebabkan beliau digantung keahlian Umno selama enam tahun semalam.

Bekas timbalan ketua bahagian Umno Putrajaya itu mempertahankan dirinya dengan berkata kenyataan beliau terhadap Ahmad Zahid sebenarnya lebih kepada cadangan kepada presiden.

“Saya percaya keputusan dibuat ada kekhilafan. Saya merayu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) meneliti setiap hujahan. Saya beri lima hujahan saya perkara berkaitan tuduhan bahawa saya memfitnah presiden dan buat kritikan secara terbuka. 

“Saya dah tunjuk pada lembaga disiplin, mereka perlu membuktikan ia fitnah pada saya itu adalah satu benar. Konteks kenyataan saya apa yang saya nyatakan adalah pandangan bukan kritikan, adalah pandangan berupa cadangan… boleh tengok kenyataan akhbar,” katanya kepada media di luar Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur.

Tun Faisal berkata beliau menerima surat penggantungan keahliannya daripada Setiausaha Agung Ahmad Maslan kira-kira jam 10.40 malam tadi.

Umno menggantung keahlian Tun Faisal selama enam tahun kerana beberapa tindakannya mengkritik Ahmad Zahid secara terbuka sebelum ini.

Tun Faisal sebelum itu membuat kenyataan mendakwa Ahmad Zahid sudah hilang wibawa dan mengkhianati parti selepas menandatangani surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongannya kepada ketua pembangkang Anwar Ibrahim untuk jadi perdana menteri.

Sokongan Ahmad Zahid itu, yang didedahkan oleh Annuar Musa bertentangan dengan pendirian dan ketetapan Umno untuk tidak bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

Tun Faisal merupakan setiausaha akhbar kepada Annuar, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

Menurut Tun Faisal, beliau akan membalas surat penggantungannya dalam tempoh dua hari lagi dan akan membuat rayuan kepada MKT untuk mempertimbangkan semula keputusan tersebut

“Saya yakin semalam Majlis Kerja Tertinggi waktu buat keputusan ia hanya mengesahkan keputusan yang dibuat 8 haribulan (Isnin). Malangnya Lembaga Displin tidak memberitahu saya.

“Ia dibawa terus kepada MKT dan semalam hanya mengesahkan saja. Saya tak rasa MKT betul-betul dengar hujahan saya dan melihat kepada fakta kes.

“Sebagai ahli saya ada hak untuk merayu saya percaya keputusan dibuat ada kekhilafan,” katanya.

Pada masa sama beliau juga tidak menolak beberapa spekulasi yang timbul berhubung keputusan itu

“Banyak spekulasi dibuat seperti kenapa MKT semalam buat keputusan tak pernah lagi Umno sejak saya pegang jawatan dari zaman Pemuda sampai sekaran,g MKT buat keputusan disiplin  semasa perhimpunan agung (PAU).

“Itu spekulasi pertama mungkin beri tanda atau peringatan kepada ahli. Saya rasa bila dibuat ketika PAU ia cuma beri gambaran supaya lebih ramai toe the line (lebih patuh)... pada saya itu spekulasi,” katanya.

Selain itu beliau turut mempersoalkan tempoh gantung keahliannya selama enam tahun yang disifatkan agak pelik.

“Kenapa sampai enam tahun ramai sahabat (hantar mesej di) WhatsApp saya, termasuk kepimpinan Umno, kata tempoh enam tahun itu terlalu lama macam pelik

“Ada juga spekulasi berkaitan Annuar Musa tapi bahagian Tan Sri (Annuar) politiknya berbeza, bahagian saya politik berbeza,” katanya. – 28 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen