Umno gantung keahlian Tun Faisal 6 tahun


Keputusan itu dibuat MKT Umno malam tadi, menurut sepucuk surat kepada Tun Faisal ditandatangani Setiausaha Agung Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Mac, 2021.

UMNO menggantung keahlian Timbalan Ketua Umno Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz selama enam tahun kerana beberapa tindakannya mengkritik presiden parti Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka sebelum ini.

Keputusan itu dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam mesyuaratnya malam tadi, menurut sepucuk surat kepada Tun Faisal yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

“Penggantungan ini adalah selama tempoh enam tahun bermula daripada 27 Mac 2021 atau dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi Umno,“kata surat itu, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight.

Keputusan MKT Umno itu mengesahkan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Displin parti pada 8 Mac lalu, selepas mengarahkan Tun Faisal memberi tunjuk sebab atas dakwaan melanggar perlembagaan dan tata etika parti.

Media sementara itu memetik Ahli MKT Umno Tajuddin Abdul Rahman mengesahkan keputusan itu.

Beliau yang juga pengarah pilihan raya Umno berkata hanya Tun Faisal seorang yang digantung keahliannya dan tiada ahli Umno lain yang dipecat.

Awal malam ini tersebar desas-desus MKT Umno akan membincangkan pemecatan beberapa ahli dan pemimpin Umno yang didakwa melanggar disiplin parti.

Tun Faisal adalah juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, yang sejak kebelakangan ini dikritik keras oleh ahli dan pemimpin Umno kerana sikapnya yang dianggap berlembut terhadap Bersatu dan Perikatan Nasional(PN)  pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. 

Beliau dilaporkan menerima surat tunjuk sebab pada 19 Februari dan dipanggil memberi keterangan pada 1 Mac.

Tun Faisal sebelum itu membuat kenyataan mendakwa Ahmad Zahid sudah hilang wibawa dan mengkhianati parti selepas menandatangani surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongannya kepada ketua pembangkang Anwar Ibrahim untuk jadi perdana menteri.

Sokongan Ahmad Zahid itu, yang didedahkan oleh Annuar, bertentangan dengan pendirian dan ketetapan Umno untuk tidak bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

Umno akan mengadakan perhimpunan agung tahunan bagi tahun 2020 pada Ahad, yang dijangka akan memutuskan secara muktamad jalan politiknya menuju Pilihan Raya Umum ke-15 iaitu tidak bekerjasama dengan Bersatu dan PN. – 27 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen