Umno sedia lawan andai PAS tak bersama, kata Ahmad Maslan


Diyana Ibrahim Hailey Chung Wee Kye Chan Kok Leong

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan hairan kerana kerjasama PAS dengan Umno lebih cepat terjejas, berbanding permulaan kerjasama PAS dengan Bersatu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Mac, 2021.

UMNO sedia menghadapi pertandingan tiga penjuru jika PAS memilih untuk kekal bekerjasama dengan Perikatan Nasional dalam pilihan raya umum, kata setiausaha agungnya Ahmad Maslan.

Katanya, parti itu sedia menghadapi risiko tersebut berdasarkan analisis yang dibuat ke atas senario PAS kekal dalam gabungan Perikatan Nasional dan Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

“Kami tak ada sebarang tarikh akhir tentang perkara PAS nak ke mana. Kita dah buat berapa kajian bila berlaku tiga penjuru misalnya. Di mana PAS akan beri sokongan, di situ masih samar,” katanya.

Pada masa sama beliau juga hairan kerana kerjasama PAS dengan Umno lebih cepat terjejas, berbanding permulaan kerjasama PAS dengan Bersatu.

“Kenapa samar hubungan dengan Umno lebih awal daripada datangnya hubungan PAS dengan Bersatu,” katanya lagi kepada pemberita di PWTC hari ini.

Tambah Ahmad, senario pertembungan tiga penjuru itu juga telah dibincangkan oleh pemimpin Umno di negeri-negeri.

“Sebab itu saya buat kenyataan dengan kawan di negeri-negeri  jika berlaku tiga penjuru adalah penting pimpinan negeri dan kawaan itu sentiasa rapat dengan PAS.

“Mudah-mudahakan pemimpin PAS akan terus bersama kita,” katanya dalam sidang media sewaktu Perhimpunan Agung Umno.

Beliau mengulas mengenai kerjasama Muafakat Nasional (MN) dengan PAS, selepas partinya itu memutuskan tidak lagi akan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya.

Zahid terdahulu ketika menyampaikan ucapan dasar di perhimpunan itu menegaskan sekali pendirian Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam ucapannya hari ini, Zahid juga menegaskan Umno akan bertanding menggunakan lambang BN dalam pilihan raya umum akan datang

Zahid juga menyeru PAS untuk kembali mengukuhkan MN dan mengingatkan belum terlambat untuk parti Islam itu patah balik biarpun sudah bersama Bersatu dalam PN.

Semalam, sayap-sayap Pemuda dan Puteri Umno dalam persidangannya juga mengasak parti Islam itu dan mendesak PAS mengumumkan pendirian dengan lebih jelas.

Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah pula menggesa kesemua sembilan menteri dan lima timbalan menteri dari parti itu meletak jawatan. – 28 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen