PRINSIP kesetiaan kepada parti akan menjadi penimbang sama ada pemimpin Umno akan dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15, kata bekas presidennya Najib Razak.
Ini kerana akar umbi Umno mahu mereka diwakili pemimpin yang setia kepada parti, katanya yang mengulas mengenai pemimpin yang akan diketengahkan kelak.
“Kami akan beri keutamaan kepada prinsip setia kepada parti. Sama ada apa yang berlaku masa pilihan raya kita lihat nanti, tapi prinsip setia kepada parti akan jadi pertimbangan paling penting.
“Kita tak tahu (pemimpin tidak setia akan dicalonkan)... Akar umbi rasa kita kena pastikan parti tak terjejas, cara terbaik adalah untuk kita pilih pemimpin yang setia kepada parti,” kata Najib.
Beliau yang ditemui selepas perasmian persidangan sayap Umno di perhimpunan agung parti tersebut di Kuala Lumpur menyokong saranan sama dinyatakan Pemuda Umno.
Ketua pergerakan itu Asyraf Wajdi Dusuki menggesa parti Melayu itu tidak mencalonkan pemimpin hipokrit dalam pilihan raya.
Dalam ucapan dasarnya, Asyraf menuntut Umno tidak memberi ruang dan tempat kepada pemimpin parti yang hipokrit dalam pemilihan parti akan datang.
Beliau berkata, Umno sebagai parti yang mempunyai harga diri berpendapat golongan hipokrit itu membahayakan parti kerana mereka merupakan gunting dalam lipatan.
“Pemuda berpendirian tegas, mendesak agar kepimpinan parti tidak lagi memberi muka kepada golongan ini.
“Jangan sesekali diberi tempat di barisan hadapan untuk mewakili parti. Malah, ahli Umno wajar menolak watak-watak hipokrit seperti ini dalam pemilihan parti,” kata Asyraf. β 27 Mac, 2021.
Komen