Pemuda gesa Umno tolak pemimpin hipokrit dalam parti


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Diyana Ibrahim Hailey Chung Wee Kye

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki (kanan) dan Ketua Penerangan Shahril Hamdan tiba di PWTC sempena Perhimpunan Agung Umno 2020 hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Mac, 2021.

UMNO tidak harus memberikan ruang dan tempat kepada pemimpin parti yang hipokrit dalam pemilihan parti akan datang, kata ketua pemudanya Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, Umno sebagai parti yang mempunyai harga diri perlu menolak golongan hipokrit itu yang membahayakan parti kerana menjadi gunting dalam lipatan.

“Pemuda berpendirian tegas, mendesak agar kepimpinan parti tidak lagi memberi muka kepada golongan ini.

“Jangan sesekali diberi tempat di barisan hadapan untuk mewakili parti. Malah, ahli Umno wajar menolak watak-watak hipokrit seperti ini dalam pemilihan parti,” kata Asyraf.

Kenyataan keras itu muncul sewaktu Umno berdepan tentangan terutama dari pemimpin yang memegang jawatan dalam kerajaan untuk memutuskan kerjasama dengan Perikatan Nasional.

Tanpa menamakan pemimpin terbabit, Asyraf berkata pemimpin berkenaan sebelum ini rela menggadai pendirian demi kedudukan dan jawatan.

“Ada juga yang dulunya sanggup berjuang bermati-matian, pantang musuh cabar menyerang, kekuda dipasang, jiwa raga rela dipertaruhkan.

“Tetapi, kini dek mabuk kuasa dan harta, taat dan setia tergamak digadaikan, rumah sendiri dilayani bagaikan rumah tumpangan, sanggup tikam belakang, rela buka pekung di dada tak kira haluan.

“Bahkan biar diri menjadi gunting dalam lipatan, lupa hakikat diri bahawa parti inilah yang mengangkat mereka pada kedudukan penuh penghormatan,” kata Asyraf.

Beliau berkata, golongan hipokrit itu juga hanya bersama sewaktu susah namun kini menunjukkan watak sebenar apabila Umno mula berkuasa semula dan bekerjasama dengan parti musuh.

“Hakikatnya ujian kuasa dan harta bukanlah mudah untuk dihadapi. Saat kita sama-sama diuji jatuh kecundang, ternyata kita mampu melupakan segala sengketa lama.

“Kita boleh pula berganding bahu meniti bara, sama-sama berdengkit-dengkit, sama-sama merangkak mengesot, sedikit demi sedikit menulusuri terowong sempit.  
 
“Namun, tatkala kelihatan sinaran cahaya di hujung terowong, mulalah menjelma pelbagai kelibat dan watak warga parti yang menzahirkan warna sebenar diri,” katanya.

Dengan menyebut beberapa bidalan, beliau berkata pemimpin berkenaan kini tidak lagi bersama parti dan menyebabkan kepemimpinan Umno berpecah.
 
“Ada yang dulunya bagai merpati dua sejoli, berpimpin tangan berpisah tiada, tetapi kini ibarat bunga, mekar dipakai layu dibuang.

“Sikap mereka ini, umpama biduknya satu, nakhodanya dua, lantaran sikap sayangkan kaki pada terompah,” kata Asyraf  ketika menyampaikan ucapan dasar ketua pemuda Umno.

Beliau juga mengingatkan setia pada perjuangan bukan hanya ketika waktu mereka memerintah tetapi harus kekal setia untuk tetap mempertahankan parti walau dipandang hina.

“Ingatlah, buruk-buruk si kayu gaharu, apabila dibakar tetap wangi baunya”.  
 
“Segala mehnah dan ujian yang kita lalui bersama, cukup untuk menguji tahap kesetiaan kita kepada idealisme dan prinsip perjuangan. Setia kepada perjuangan bukan hanya di saat kesenangan.

“Setia kepada perjuangan bukan hanya ketika berkedudukan. Setia kepada perjuangan bukan juga di waktu diuji dengan serba kepayahan,” katanya.

Tambah beliau pada waktu ini pemimpin Umno perlu menunjukkan kesetiaan dengan berkorban dan tidak menjadi pengikut sahaja.
 
“... (Pilih sama ada) mempertahankan parti biarpun menjadi lilin membakar diri, atau merelakan diri diperlakukan semahunya bak lembu dicucuk hidung oleh tuan yang mendedaknya.

“Umno masih punya maruah dan harga diri,” tegas Asyraf lagi di perhimpunan agung sayap tersebut di Kuala Lumpur. – 27 Mac, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen