Tak perlu RCI siasat 'kartel' polis, kata Hamid Bador


Alfian Z.M. Tahir

Perkara ini dalam kawalan, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, mengulas cadangan menubuhkan RCI bagi menyiasat gerakan dalaman untuk menjatuhkannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Mac, 2021.

KETUA Polis Negara Abdul Hamid menolak cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat gerakan dalaman untuk menjatuhkannya, dan menegaskan situasi masih terkawal.

“Saya sudah jelaskan sebelum ini, perkara ini dalam kawalan. Saya mahu orang awam tahu, saya tahu apa yang mereka tahu mengenai kerja tidak elok dalam pasukan polis.

“Saya juga mahu anak buah saya sedar bahawa ia adalah sesuatu yang buruk. Saya tahu apa yang jadi di bawah sana,”  katanya pada sidang di Bukit Aman hari ini.

NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) berkata kerajaan perlu segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat serta mengenal pasti kumpulan kartel jenayah dalam PDRM yang mahu menjatuhkan Hamid.

“Kenyataan terbaru Tan Sri Abdul Hamid Bador seolah-olah berbentuk satu rayuan kepada kerajaan agar segera mengambil tindakan bagi mengatasi masalah ini.  

“Edict percaya bahawa kartel polis ini telah menyelinap dalam setiap jabatan di PDRM, justeru adalah sangat wajar perkara ini disiasat oleh sebuah badan bebas seperti RCI untuk mengenalpasti anggota-anggota yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan minggu lalu.

Dalam satu wawancara ekslusif bersama Sinar Harian pada Rabu minggu lalu, Hamid mendedahkan wujud gerakan dari kalangan pegawai muda PDRM untuk mengaib dan menjatuhkan beliau.

Katanya, gerakan itu juga kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

Hamid pada sidang media hari ini turut menjelaskan pendedahan tersebut bukan sebagai umpan untuk memastikan kontrak beliau sebagai KPN yang dijadual tamat Mei ini disambung.

“Saya bukan nak ‘test market’ dan umpan. Saya tidak minta kontrak disambung, saya bukan jenis manusia macam itu.

“Tidak ada politik-politik sinis di belakang tindakan saya ini, saya ikhlas. Supaya tidak berulang lagi titik-titik hitam,” katanya.

Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo menggesa Hamid membuat laporan polis mengenai dakwaan gerakan oleh sekumpulan pegawai bawahan untuk menjatuhkannya. Siasatan perlu dijalankan secara terbuka dan telus, tambahnya.

“Ini adalah tuduhan serius yang mempengaruhi integriti pasukan polis.” – 23 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen