Gobind Singh gesa KPN buat laporan dakwaan 'kartel' polis


KPN Abdul Hamid Bador mendakwa wujudnya usaha menjatuhkan beliau susulan tindakan tegasnya memerangi rasuah dalam pasukan polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2021.

AHLI Parlimen DAP Gobind Singh Deo mendesak Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador membuat laporan polis mengenai dakwaan cubaan sekumpulan pegawai bawahan untuk menjatuhkannya.

Ahli Parlimen Puchong itu berkata dakwaan Hamid, yang didedahkan baru-baru ini dalam wawancara, memerlukan siasatan terbuka dan telus.

“Abdul Hamid Bador mesti memastikan agar laporan dibuat terhadap pegawai berkenaan.

“Ini adalah tuduhan serius yang mempengaruhi integriti pasukan polis.”

“Walaupun saya memuji KPN kerana bercakap benar mengenai masalah ini dan usahanya untuk membersihkan pasukan polis, tindakan beliau perlu seiring dengan kata-katanya dan menangani keseriusan tuduhan yang dibuat,” kata Gobind.

Bekas KPN Musa Hassan juga mendesak Hamid untuk membuat laporan polis.

Musa berkata, Hamid perlu membuat laporan agar polis dapat menyiasat perkara itu.

Gobind berkata siasatan dalaman tidak akan mencukupi untuk menangani dakwaan berhubung skandal itu.

“Tuduhan seperti ini memerlukan penyiasatan terbuka dan telus dan jika terbukti kesalahan dilakukan, maka mereka yang berkaitan perlu berdepan undang-undang.”

“Saya mendesak KPN mempertimbangkan kembali pendirian itu dengan serius. Beliau harus mengarahkan agar laporan dibuat, melancarkan penyelidikan penuh terhadap aduan dan membiarkan undang-undang bertindak,” tegasnya.

Hamid sekali lagi bercakap mengenai kartel itu dalam sidang media, dan juga mendakwa pegawai polis berpangkat tinggi di Bukit Aman sebelumnya juga termasuk dalam senarai sindiket jenayah.

Kartel terdiri daripada pegawai lebih muda sekarang adalah mereka yang tidak senang dengan usahanya membersihkan pasukan tersebut.

“Pernah suatu ketika dahulu, mereka takut mengambil tindakan terhadap sindiket ini kerana wang diberi kepada KPN. Bukan KPN sekarang, tetapi sebelum ini,”  kata Hamid tanpa menyebut nama bekas KPN mana yang terlibat. – 23 Mac, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen