Mengapa bayi perempuan masih dikhatan?


Fa Abdul

MUSIM cuti sekolah yang lepas, seperti juga musim-musim yang sebelumnya, cukup meriah dengan pelbagai program berkhatan beramai-ramai. Dari kampung hinggalah ke bandar, media kita membuat liputan luas ke seluruh negara, mempamerkan kanak-kanak lelaki yang kebanyakkannya berusia antara lima hingga dua belas tahun di rai dengan gembira sebelum melalui upacara berkhatan.

Namun disebalik kemeriahan tersebut, ada satu lagi upacara berkhatan yang dilakukan secara senyap-senyap. Tiada media yang mahu membuat liputan mengenainya dan tiada juga jentera pihak bomba yang diseru datang menyiram air bagi meraikannya.

Upacara tersebut tak lain dan tak bukan, adalah upacara berkhatan bagi bayi perempuan yang kebanyakannya berusia kurang daripada enam bulan.

Nyata ramai rakyat Malaysia tidak sedar akan wujudnya upacara sedemikian di negara kita.

Tetapi jika anda menggunakan kaedah pencarian di Google, anda akan dapati masih banyak klinik-klinik swasta di seluruh negara yang menawarkan khidmat mengkhatankan bayi perempuan.

Saya dikhatankan ketika berumur enam bulan. Menurut ibu saya, beliau disuruh mengkhatankan anak perempuannya oleh pihak keluarga. Tanpa ilmu yang cukup didada, ibu menurut sahaja.

Anak gadis saya pula dikhatankan ketika berumur kurang dua bulan. Saya juga tidak cukup ilmu ketika itu, lalu menurut sahaja suruhan keluarga. Kata mereka, berkhatan bagi bayi perempuan adalah satu kemestian dalam Islam.

Saya pasti ramai ibubapa beragama Islam yang bertindak mengkhatankan anak-anak perempuan mereka juga yakin bahawasanya berkhatan bagi perempuan adalah satu kewajipan. Apa tidaknya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sendiri telah mengeluarkan satu fatwa pada tahun 2009 yang menwajibkan berkhatan bagi wanita Islam.

Namun ramai yang tidak tahu bahawa cendekiawan-cendekiawan Islam yang terbaik dari Universiti Al Azhar telah mengisytiharkan pada tahun 2006 bahawa upacara berkhatan bagi bayi perempuan sebagai menyalahi ajaran Islam.

Beberapa bulan yang lepas, apabila saya mendapat tahu bahawa salah seorang rakan saya bercadang mengkhatankan bayi perempuannya, saya bertindak berkongsi dengannya akan pendapat pakar-pakar ilmiah dari universiti di Mesir itu. Harapan saya agar rakan saya itu membatalkan hasratnya mengkhatankan anak perempuannya. Tapi sayangnya, beliau meneruskan jua upacara tersebut.

Apabila di tanya mengapa beliau berbuat demikian, ini jawapannya: “Eleh, kena toreh sikit je. Bukannya dipotong pun.”

Lalu saya bertanya padanya, “Jadi apa sebabnya kamu khatankan dia?”

“Takut besar nanti jadi liar dan tak berakhlak pulak,” jawabnya.

“Jadi semua wanita yang sudah berkhatan akan berakhlak mulia ke?” tanya saya.

Rakan saya itu terus terdiam.

Saya pelik, kita sudah hampir menjenguk tahun 2020, namun pemikiran kita masih lagi di zaman batu. Kita masih lagi mempraktikkan ikutan-ikutan generasi terdahulu tanpa mengguna pakai otak pemberian Allah.

Berkhatan bagi perempuan di Malaysia tidaklah melibatkan mutilasi, sebaliknya hanya menipiskan sayap klitoris dengan cara torehan. Walaupun ramai mendabik dada mengatakan perbuatan ini tidak akan mengganggu gugat kehidupan anak gadis di masa hadapan, namun tidak ramai yang dapat menjawab persoalan mengapa harus ia diteruskan.

Adapun sebilangan yang mendakwa berkhatan bagi perempuan dapat membantu mengawal nafsu serta memastikan kebersihan genital wanita – namun semua dakwaan itu bohong semata-mata.

Sebagai seorang wanita berumur 40-an yang telah melalui proses berkhatan, saya tegaskan bahawa saya masih lagi mempunyai keinginan seksual yang tinggi dan alat sulit saya masih perlu dipelihara agar bersih dan sihat. Ringkasnya, saya tidak berbeda daripada mana-mana wanita yang tidak dikhatan.

Jadi izinkan saya mengulangi pertanyaan – jika upacara berkhatan bagi bayi perempuan sepertimana yang dilaksanakan di Malaysia (torehan bagi menipiskan klitoris) tidak membawa apa-apa kebaikan, mengapa harus ia diteruskan?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebarang bentuk prosedur yang sengaja mengubah atau menimbulkan kecederaan kepada alat kelamin perempuan untuk tujuan bukan perubatan adalah tergolong sebagai mutilasi dan melanggar hak asasi manusia.

Maka, perbuatan berkhatan bagi bayi perempuan di negara kita adalah juga melanggar hak asasi wanita.

Sayangnya, sehingga kini, pejabat-pejabat Mufti masih berterusan dengan pegangan mereka bahawa berkhatan bagi perempuan merupakan syariat Islam berpandukan dalil-dalil yang diambil dari hadis yang lemah.

Dan kita pula menurut sahaja kata-kata mereka bagaikan lembu yang dicucuk dihidung. – 2 Disember, 2017.

*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen