Profesional muda tingkat kemahiran semasa pandemik


Aminah Farid

Tinjauan oleh UOB mendapati sembilan daripada 10 pekerja di Malaysia yakin bahawa kemahiran baharu atau lebih luas adalah perlu ketika pandemik Covid-19 untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan. – Gambar AFP, 23 Mac, 2021.

JAMINAN kerja dan ekonomi yang lemah mendorong golongan profesional muda meningkatkan kemahiran diri untuk kekal berdaya saing dalam dunia pekerjaan semasa pandemik Covid-19.

Meskipun lega masih mempunyai pekerjaan, kebanyakan berpendapat mempelbagaikan kemahiran diri perlu sebagai persiapan sekiranya diberhentikan kerja pada bila-bila masa akibat ketidaktentuan ekonomi.

Untuk itu, seorang jurutera berusia 26 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Nusrah, berkata beliau mempelajari Bahasa Mandarin dan Jepun, selain berjinak-jinak dalam rangkaian perniagaan.

“Saya perlu tambah kemahiran disebabkan ekonomi yang tak menentu ketika ini,” katanya yang menetap di Terengganu.

Menurut Nusrah, walau syarikat tidak memotong gaji, kepelbagaian kemahiran membolehkan wanita itu beralih kepada pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi, sesuai dengan perbelanjaannya yang semakin meningkat.

Bagi Darren Arvid, 25, yang bekerja di agensi pemasaran digital Blankslate, berkata beliau meningkatkan kemahiran dalam bidang pengurusan projek dan pembuatan kandungan (content production).

“Dengan melicinkan pelaksanaan projek dan mengautomasi bidang tertentu, saya boleh memantau lebih banyak projek dan pada masa yang sama masih menepati masa dan kualiti.

“Saya boleh membuat cadangan yang lebih mudah dan baharu tetapi masih mengekalkan maklumat penting,” kata Darren yang tinggal di Klang.

Anak muda itu percaya dengan pelbagai kemahiran yang beliau ada tiada masalah untuknya memohon pekerjaan di mana-mana syarikat di masa depan.

“Saya boleh memohon jawatan pengurus bagi projek yang lebih besar, dan sudah tentu dengan gaji lebih tinggi.”

Katanya, syarikatnya terpaksa membatal dan menangguhkan banyak projek akibat pandemik Covid-19.

“Banyak terpaksa dibatal dan ditangguhkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan.”

Untuk kekal kompetetif dalam dunia pekerjaan semasa pandemik Covid-19, pekerja perlu melatih semula dan meningkatkan kemahiran diri.

Tinjauan oleh United Overseas Bank (UOB) pada Disember lalu mendapati sembilan daripada 10 pekerja di Malaysia yakin bahawa kemahiran baharu atau lebih luas adalah perlu ketika pandemik Covid-19 untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan.

Berdasarkan tinjauan itu juga, 85% responden di Malaysia percaya bahawa syarikat lebih cenderung mengambil pekerja yang boleh melaksanakan pelbagai tugas, manakala 83% berpendapat majikan akan mengurangkan jumlah pekerja apabila usaha pendigitalan ditingkatkan.

Dari segi kumpulan umur pula, golongan yang berumur antara 18 hingga 23 tahun paling bimbang terhadap jaminan pekerjaan.

Menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia pada Oktober 2020, sektor pekerjaan negara mencatat kadar pengangguran 0.1% lebih tinggi kepada 4.7% dengan seramai 748,200 orang menganggur. – 23 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen